Ahad, 30 September 2007
Hadirmu penuh beerti
Sekian lama ku nanti
Kini menjelma lagi
Bersama sejuta janji
Rahmat Ilahi
Dulu pernah ku mungkiri
Janji untuk mantaati
Sujud di malam sunyi
Akhirnya aku ditinggal sendiri
Menantimu hadir lagi
Dalam resah menghitung hari
Andai usia tiada lagi
Hadirmu kini
Tetap bersama janji
Seribu malam yang tersembunyi
Akan ku jejaki
Walau nafsu ini
Sering mengkhianati
Keazaman diri…………………
EJOI/30SYAABAN/1245PM.
RENUNGAN UNTUK BANGSAKU
CUBAAN…………..
Tanpa dipinta, teringin jua ku menumpang bicara, apa yang terbeban di kepala. Apa yang menganggu damai di dada. 50 tahun merdeka disambut dengan laporan audit Negara tentang pembaziran dan penyelewengan wang berjuta.- Ramai terpegun bagaimana harga set screwdriver boleh menjadi RM224.94 sedangkan harga pasaran hanya RM40, harga kamera digital (Kodak, DC4800, 3.1 Megapixel) melonjak kepada RM8,254.29 (harga pasaran RM2,990), set pasu plastik (3 saiz 8 inci, 6 inci dan 4 inci) RM42.80 (harga pasaran RM5.20), settee 6 seater (jenis PVC) RM9,075 (harga pasaran RM1,500) dan 2 tonne jack RM5,741.69 (harga pasaran RM50).
Selain itu, sebuah kren menara berharga RM2.73 juta dibeli untuk IKBN Chembong dan sebuah lagi berharga RM2.990 juta untuk IKBN Bachok, sedangkan harga pasaran masing-masing hanya RM1.45 juta dan RM1.53 juta. Sebanyak 152 pakej komputer desktop yang dilengkapi perisian Computer Assisted Design and Drafting untuk jurusan Pelukis Pelan Seni Bina pada empat IKBN Bachok, Chembong, Kinarut dan Kuala Perlis telah dibeli dengan harga R4.47 juta atau RM29,385 setiap pakej sedangkan harga pasaran hanya RM9,250 bagi satu pakej, yakni kos keseluruhan RM1.41 juta.
Ia hanya sekelumit dari entah berapa penyelewengan yang mencengkam pengurusan wang Negara. Dalam masa yang sama, masih ada yang merintih merayu sumbangan insane berjiwa pemurah kerana tidak mampu menanggu kos perubatan dan pembedahan anak mereka.Apa sebenarnya yang kalian fikirkan wahai warga Negara terbilang dan cemerlang. Budaya senang dan selesa dengan apa yang ada adalah punca kemunduran bangsa. Kita takut mencuba sesuatu yang baru. Sebelum kita temui jalan kita telah mencadangkan sejuta halangan. Lantas kebimbangan terhadap halangan menjadikan kita lebih rela berada di takuk lama dari mencuba sesuatu yang memungkinkan kejayaan berganda. Di dalam masyarakat Islam kita terhalang menghafal Al Quran dengan hadis yang mengancam dosa bagi mereka yang melupakannya. Kita tidak menjadikan pahala berganda yang disediakan sebagai motivasi dan melupakan kemungkinan gagal. Gagal hanya kemungkinan yang belum tentu terjadi dan boleh diatasi. Sedangkan pahala dari kejayaan itu dilupakan. Budaya katak di bawah tempurung mungkin tidak lagi sesuai kerana kita berada di zaman yang langitnya sentiasa terbuka.kita boleh mengembara perpustakaan dunia dari rumah kita, tetapi hakikat perubahan tidak jua kita rasakan. Mungkin pepatah seperti katak di bawah gelas lebih sesuai….. Melihat dan tahu apa berlaku tetapi hanya menjadi penonton sahaja tanpa manafaat pada diri kita…..mungkin sesuai jua seperti kata pendekar bujang lapok….cubaan………………………..
Sabtu, 29 September 2007
PESANAN ALBANNA UNTUK GENERASI MENARA GADING
Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan di samping itu ada kesediaan yang mendorong mereka kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama mahasiswa.
Kesimpulan ini ialah kerana asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah. Itulah sebabnya anakanda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-manah kebangkitan; malahan angkatan mahasiswa jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.
Allah berfirman;
Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Al Kahfi:13)
Dengan kesimpulan inilah maka anakanda akan menghadapi kewajipan yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda; malah dari sinilah maka amanah yang dipikulkan ke atas bahu anakanda itu akan menjadi bertambahberat. Oleh itu sepatutnya anakanda berfikir panjang, bekerja keras, bahkan mestilah anakanda menentukan sikap untuk tampil ke hadapan demi menyelamatkan umat serta menunaikan hak-hak umat dengan sempurna.
Anakanda di penjara menara gading,
Ada mahasiswa yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya senang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.
Di samping itu ada pula mahasiswa yang lahir membesar di tengah-tengah umat yang terpaksa berjuang dan bertindak kerana mereka dijajah dan dikuasai oleh musuh; oleh itu umat tersebut terpaksa berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas, hak mereka yang dijajah. Begitu juga segala kebebasan juga telah hilang.
Pada ketika itulah kewajipan utama lagi pertama bagi mahasiswa tersebut supaya menumpukan segala perhatian demi untuk kepentingan umat lebih banyak dari faedah dirinya sendiri. Ketika bertindak sedemikian itu, mahasiswa tersebut akan memperolehi kemenangan dan pelbagai kebaikan serta mencapai ganjaran dari Allah dalam bentuk kebajikan dan pahala di akhirat kelak.
Anakanda yang berada di penjara menara gading hari ini, bertuah sebenarnya sebab anakanda termasuk ke dalam golongan yang kedua hingga terbukalah mata anakanda melihat umat yang terus menerus berjuang serta bertungkus lumus demi kebenaran dan kebebasan.
Oleh itu, bersedialah wahai angkatan kesatria, alangkah hampirnya kemenangan itu untuk orang-orang yang beriman, dan alangkah besarnya kejayaan yang akan dicapai oleh mahasiswa yang terus menerus bekerja dan bertindak.
Anakanda di penjara menara gading,
Sudut yang paling merbahaya sekali dalam sesuatu umat yang sedang membangun-terutama di ketika masih dalam peringkat permulaan kebangkitan ialah lahirnya berbagai corak fikrah dan pegangan, pelbagai seruan, bermacam-macam program, pelbagai langkah dan cara yang bersimpang siur di samping lahirnya begitu banyak orang-orang yang berlagak penganjur dan pemimpin. Semua itu hanya memecah belahkan tenaga serta mencerai beraikan kekuatan yang sedia ada lalu mengendalakan tercapainya segala matlamat yang dituju.
Menyedari hal inilah maka suatu kajian terhadap segala fikrah tadi serta suatu analisa perbandingan di antaranya merupakan suatu persoalan yang asasi yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang benar-benar inginkan reformasi.
Memandang semua inilah ayahanda berasa berkewajipan menerangkan dengan jelasnya kepada anakanda sekalian dari hal hakikat dan program dakwah Islam untuk kurun yang ke-14 hijrah ini.
Anakanda di penjara menara gading,
Sebenarnya kita telah pun beriman tanpa sebarang keraguan atau prasangkaan malah kita sudah pun yakin dengan sepenuhnya sekira-kiranya keyakinan kita ini lebih kukuh dan tegap dari gunung-ganang yang memasak bumi, lebih dari segala lubuk hati sanubari bahawa tidak terdapat sebarang apa pun jua fikrah perjuangan melainkan hanya satu sahaja fikrah yang benar-benar mampu menyelamatkan dunia yang sedang terseksa, yang benar-benar mempunyai daya upaya membimbing kemanusiaan yang sedang berada di dalam keadaan tercengang-cengan dan yang benar-benar sanggup memimpin umat manusia ke arah jalan yang sewajarnya.
Fikrah atau ideologi perjuangan yang seperti itu mustahak diberi segala pengorbanan demi meninggikan kedudukannya, demi memperkenalkannya serta mendorong umat manusia supaya menghayati dengan segala jiwa raga serta memberikan dari sekecil-kecil pengorbanan hinggalah semahal-mahalnya.
Fikrah yang tunggal ini tidak lain dan tidak bukan ialah “Islam yang maha suci†yang sekali-kali tidak terdapat di dalamnya sebarang apa pun jua penyelewengan, keburukan dan kesesatan yang akan menimpa sesiapa yang mengikutnya.
Allah berfirman(Al-Imran:18-19): Allah menjadi saksi, dan para malaikat dan ahli cerdik pandai bahawa tidak ada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang berlaku adil terhadap makhluknya, tidak ada Tuhan melainkan Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya ugama yang di sisi Allah itu ialah Islam.
Suatu lagi firman Allah (Al-Ma’idah:3): Hari ini Aku sempurnakan bagi kamu akan ugama kamu, dan Aku penuhkan kepada kamu nikmatKu, dan redhalah Aku Islam itu sebagai ugama bagi kamu.
Jelas bahawa fikrah perjuangan kita hendaklah fikrah yang bersifat Islam dengan setulin-tulinnya. Di atas dasar Islamlah fikrah kita berpijak, daripada sumbernyalah kita mendapat petunjuk. Kerana Islam maka kita ini berjuang dan demi kerana meninggikan kalimahnya maka kita bekerja serta bertindak.
Fikrah kita tidak sekali dapat menyamakan sebarang sistem dengan sistem Islam, tidak sekali-kali redha mengikut sebarang pimpinan yang lain malah fikrah kita sekali-kali tidak akan patuh kepada apa jua hukum melainkan Islam.
Allah berfirman (Al-Imran : 85):
Dan barangsiapa mencari ugama selain dari Islam maka usahanya itu tidak sekali - kali akan di terima.
Anakanda di penjara menara gading,
Islam serta penganut-penganutnya pernah mengalami suatu zaman cubaan di mana mereka ditimpa dengan pelbagai kemalangan dan diselubungi oleh bencana yang bertubi-tubi. Pada ketika itulah musuh-musuh Islam telah bekerja untuk memadamkan sinarannya, cuba untuk menyembunyikan keindahannya bahkan untuk menyesatkan para pemeluknya, membantutkan pelaksanaan hukum hududnya serta melemahkan bala tenteranya di samping memutar ajaran serta hukum-hukumnya.
Kadang-kadang mereka lakukan dengan cara mengurangkannya dan terkadang pula dengan jalan menambah-nambahkannya dan selain dari itu, dengan mentafsirkan hakikatnya dengan cara yang tidak sewajarnya.
Dalam usaha yang jahat itu mereka mendapat peluang yang baik bila berlaku kehilangan kuasa politik dari umat Islam dan kehancuran pemerintahan sejagat mereka di samping kemerosotan semangat Muhammadiyah di kalangan bala tenteranya. Akhirnya jatuhlah seluruh umat Islam itu ke dalam genggaman umat kufur sebagai mangsa penghinaan dan penjajahan.
Oleh itu tugas utama lagi pertama bagi kita wahai anakanda tercinta ialah memberi penjelasan kepada orang ramai akan hakikat segala batas agama Islam, menjelaskan kepada mereka itu dengan seberapa terang, sempurna dan jelas tanpa sebarang tambah dan tokok atau kekurangan atau sebarang kesamaran. Tugas seperti ini merupakan sudut teori bagi hakikat fikrah kita.
Di samping itu kita mestilah mengajak mereka melaksanakan fikrah islam itu serta mendorong mereka demi menyelamatkannya serta membimbing mereka ke arah beramal dengan ajarannya. Sudut ini di namakan sudut amali bagi fikrah perjuangan kita.
Anakanda di penjara menara gading, Pegangan kita dalam semunya itu ialah kitab Allah yang tidak pernah diresapi oleh kepalsuan sejak dulu hingga sekarang, dan keduanya ialah sunnah yang benar serta nyata datangnya dari Rasulullah s.a.w dan juga sejarah perjalanan bersih dari angkatan salaf umat Islam ini.
Kita tidaklah menghendaki di sebalik usaha itu sebarang apa pun jua melainkan keredhaan Tuhan, menunaikan kewajipan dan memimpin umat manusia serta menunjuk jalan kepada orang ramai.
Kita akan terus berjihad demi untuk menjayakan fikrah kita itu, dan kita akan berusaha sedaya upaya demi untuk menegakkan supaya dengan itu dapatlah kita sekalian hidup mulia atau sebaliknya biarlah kita mati secara yang mulia. Cogan kata kita ialah :
Allah matlamat kami ;
Rasul itu ikutan kami ;
Al-Quran itu perlembagaan kami ;
Jihad jalan kami; dan
Mati pada jalan Allah ialah setinggi-tinggi cita-cita kami.
Anakanda di penjara menara gading,
Sesungguhnya Allah telah memuliakan kamu dengan menamakan anakanda semua angkatanNya, dengan mengurniakan iman kepada anakanda serta mendidik anakanda sekelian atas dasar ugamanya, dan Allah telah meletakkan anakanda di martabat tertinggi di muka dunia dan di kedudukan para da’i di kalangan orang ramai serta Allah menganugerahkan kepada anakanda kemuliaan seperti yang dianugerahkannya kepada maha guru di hadapan muridnya.
Allah berfirman (Al-Imran : 110): Kamulah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk memimpin umat manusia: iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan, dan kamu menegah dari kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.
Allah berfirman (Al-Baqarah : 143):
Demikianlah pula Kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi terhadap umat manusia.
Oleh itu perkara yang pertama sekali yang Allah menyeru ialah hendaklah anakanda mempunyai keyakinan diri sendiri, dan hendaklah anakanda menyedari martabat diri anakanda dan yakinlah bahawa anakandalah sebagai tuan di dunia walaupun musuh-musuh kamu sudah tentu ingin melihat kamu berada di dalam kehinaan.
Hendaklah anakanda yakin bahawa anakanda adalah sebagai guru kepada umat-umat di dunia walaupun pada waktu-waktu yang tertentu orang lain pernah mengatasi anakanda dalam sesuatu sudut yang tertentu; namun demikian, kemenangan terakhir adalah di tangan orang-orang yang bertaqwa jua.
HASSAN ALBANNA
IKHWAN MUSLIMIN
DENYUT NADIKU MASIH MELAYU…………………………
Budaya Timur ………..ungkapan yang melambangkan kelembutan dan kesopanan……. Lelakinya mungkin berjalan dengan tunduk hormat sehinggakan andai keropok goreng diletakkan di kaki tidakkan pecah……perempuannya tunduk ke lantai hingga dinding dihadapan pun dilanggar….. mungkin itulah gambarannya. Islam memang menuntut itu semua tetapi melampau adalah sesuatu yang dilarang…… Benar …..nilai lelaki pada sabar dan nilai perempuan pada malu…… tetapi apakah sabar hingga kepala di benam di bumi???? Atau malu hingga menjadi buta dan bisu????.
Hak adalah sesuatu nilai yang dipertahankan… Saidina Abu bakar dalam pidato dasarnya ketika dibai’ah menjadi khalifah pernah berkata; Orang yang kuat disisimu adalah lemah di sisiku hingga aku mengambil hak darinya. Dan orang yang lemah di sisimu adalah kuat di sisiku hingga aku mengembalikan hak padanya; Sabar hingga hak dirampas adalah sifat dayus. Malu hingga maruah dicabar adalah bacul….Bertolak ansur adalah anjuran Islam tetapi akur hingga menyerahkan hak adalah adalah sifat kezaliman.
Di manakah keadilan andai seorang perompak menceroboh rumah kita, demi penyelesaiannya maka pihak polis mencadangkan agar kita menyerahkan bilik tidur kepada perompak sebagai jalan penyelesaian???? Inilah yang dilalui di bumi Bosnia Herzegovina. Jua di Falastin. Malah di kebanyakan Negara Islam apabila penjajah ingin menganugerahkan kemerdekaan. Mereka menyediakan satu tapak perpecahan agar tidak tegaknya kestabilan. Memang nampaknya suara pelbagai bangsa itu senada….tetapi mimpi mereka selalunya berbeza.. buktinya peristiwa 13 Mei 69 di negara kita.. malah pelbagai isu rentetan kemudiannya….dan terakhir kekalutan yang dikatakan berlaku di Johor di saat ambang 50 tahun merdeka. Itu tidak dikira lagi tuntutan supaya hak keistimewaan melayu dikaji semula…… malah terkini tuntutan dikaji semula kontrak social Negara…. Sedangkan ianya merupakan asas penerimaan konsep “jus soli” sewaktu rundingan kemerdekaan…. Belum dikira lagi tuntutan IFC, memo dari sembilan menteri cabinet (kemudiannya di tarik balik). Keistimewaan biasiswa, kuota pendidikan di institute MARA, dan pelbagi isu yang mungkin menyesakkan dada kita memikirkannya….menggelegakkan otak kita menafsirkannya……
Tulisan ini bukan berhasrat untuk kita merombak apa yang ada. Sejarah telah berlaku dan berlalu….. Memahami sejarah bukan untuk kita memutar semula sejarah mengikut acuan kita tetapi bagaimana kita melakar sejarah masa depan. Supaya kita tidak disengat dalam lubang yang sama untuk kali kedua…Pesanan junjungan rasul; orang yang beriman tidak disengat dalam lubang yang sama untuk kali yang kedua…. Tetapi kita juga perlu bimbang dengan usaha merombak sejarah yang ada hari ini… nama pejuang kemerdekaan seperti Dr Burhanuddin, Tok janggut dan yang seangkatan dengannya kian pudar…. Malah yang timbul hanya nama Tengku Abd Rahman, Tan Cheng Lok, Dr senivasagam dan beberapa nama yang menerima anugerah kemerdekaan dari penjajah, (kita sembang di lain tajuk). Tidak cukupkah kita dengan sogokkan sejarah bahawa Magelan adalah pelayar dunia , Alfonso mencari rempah, Lopez dan berbagai nama lagi kononnya tokoh pelayar dan pedagang ke Asia. Sedangkan mereka adalah duta kerajaan Kristian mengepung Khilafah Othmaniah Turki dengan menakluk kerajaan kecil Islam. Sepanyol, Portugis dan Belanda bukan mencari rempah. Mereka datang dengan misi yang lebih besar tetapi sejarah membodohkan kita mengenali mereka . Dari pengkhianat mereka disanjung sebagai tokoh. Masyarakat kita yang buta sejarah menyanjung mereka. Kita bimbang sejarah akan berulang. Memahami permulaan sejarah adalah penting. Andai salah tempat bermula dalam membaca arah peta, kita akan tersesat jauh,. Jauh dari arah kita ingin membina Negara dan bangsa. Jiwa ini rasa tersiksa melihat bangsa yang terlalu leka. Keyakinan kononnya takkan melayu hilang di dunia seakan membelenggu kita. Itu kata Tun Tuah…. Benarkah Tuah wujud…. Sejarah masih mempersoalkannya….. ataukah kita masih dibelenggu sumpah mahsuri….. ahhh…. banyaknya kisah yang menghalang perjalanan bangsaku…. Semuanya bersifat belenggu yang berpanjangan……. Menghiburkan…tetapi kosong dari sifat perjuangan….Tuah dengan ketaatan yang membuta tuli… mahsuri dengan sumpah yang tak mungkin untuk kita lari……
Kadang kadang kita tak tahu apa yang kita kata…kerana apa yang kita kata hanya lahir dari lidah yang tak bertanya akal …jauh sekali meminta fatwa hati… Sesekali renunglah…bukan dengan mata tetapi dengan akal….sesekali dengarlah….bukan dengan telinga tetapi dengan rasa…. Dan berkatalah dari dengan suara yang terbit jauh di sudut hati….. Apa yang pernah kita miliki….apa yang tinggal kini…… apa yang kita cari ….. apa yang sedang menanti….. Hidup ini bukan satu permainan tetapi satu perjuangan….. bukan kita yang memulakan….. tetapi kita hanya mata rantai dalam perjuangan yang telah lama dimulakan dan entah bila berakhirnya……………………
Membiarkan diri dicatur bukan sifat kecemerlangan. Kita yang melakar sejarah….. bukan mengikut putaran sejarah. Hanya bumi tanah melayu ini yang kita miliki…..Hanya langit biru ini yang akan kita junjung hingga mati…. Dan inilah jua yang akan kita wariskan kepada generasi masa depan….. bukan diharapkan nama kita terpahat di buku sejarah…. Tetapi kita juga tak mahu generasi hadapan melaknat di kubur kita nanti…. Aku tidak tahu apakah darah maharaja Lela mengalir dalam tubuh ini atau tidak… tetapi yang ku tahu….. merahnya darah melayu masih segar meresap di setiap urat nadiku……….. ejoi.
Jumaat, 28 September 2007
inspirasiku
siapa aku di sisimu
Aku masih lena dalam kelambu rindu
Berfoya dengan waktu, bercumbu dengan mimpiku
Sedang masa bagai menderu, meninggalkan aku kaku
Lemah diulit selimut baldu…. hinanya….
Siapa aku disisiMu..
ZOHOR
Aku lebih memikirkan rehatku
Mementingkan jawatanku, membilang untung perniagaanku
Sedang aku terlupa, semua itu bukan temanku….
Tika aku sendiri di kuburku…
Siapa aku di sisiMu..
ASAR
Itu waktu santaiku..
Di taman menghambat sunyiku…
Dipadang bersama temanku…
Hingga redup itu berlalu…..
Aku masih di situ……
Siapa aku di sisiMu….
MAGHRIB
Masa itu pantas berlalu..
Peluh belum kering di tubuhku….
Sofa belum panas hangat badanku….
Dan mungkin pasar malam baru memanggilku…
Siapa aku di sisiMu…
ISYAK
Masa itu terlalu panjang….
Makan malamku belum terhidang..
Teman temanku baru bertandang..
Televisyen baru ku pasang.
Dan mungkin kerana terlalu letih di waktu siang
Siapa aku di sisMu….
Siapa aku di sisiMu…
Dahi terlalu sukar menyembahMu….
Pinggang terlalu rapuh rukuk padaMu..
Sedang tak terkira nikmatmu padaku….
Masa yang berlalu….
Memburu usiaku…..
Jauh ku tinggalkan dunia yang ku buru…
Sedangkan aku di buru kematianku….
Hinakah aku di depanMu???
Moga rahmat kasihMu masih tertumpah buatku……..

