Isnin, 29 Disember 2008

SALAM HIJRAH

Beberapa hari ini jadual ceramah berkaitan hijrah memenuhi masjid dan surau. Biasanya pengajaran tentang hijrah adalah menu utama penceramah. Bagaimana berlakunya hijrah dan individu yang terlibat dengan hijrah akan dibincangkan. Ada yang keterlaluan sehingga berlaku tokok tambah dalam penceritaan.

Satu perkara besar yang barangkali terlepas pandang pada penceramah ialah tentang asas berlakunya hijrah. Tidak dinafikan iman ialah asas hijrah. Namun jika kita pergi lebih awal dari peristiwa hijrah ialah permulaan yang membawa kepada islamnya orang yang mengundang Rasulullah dan orang Islam Mekah berhijrah ke Yatsrib.

Orang Yatsrib yang datang ke Mekah sebenarnya telah ada pengetahuan tentang Islam dan Rasulullah. Mereka mengenali diri Rasulullah dari ahli kitab Yahudi yang bertebaran di Madinah. Mereka mengenali rasulullah melalui ilmu berbanding orang Mekah yang mengenali Rasulullah melalui jasad dan tubuh badan baginda. Orang Mekah menolak Rasulullah walaupun mengenali peribadian serta asal usul Rasululullah yang mulia. Orang Yatsrib mudah menerima rasulullah lantaran mengenali Rasulullah melalui ilmu. mengenali kebenaran melalui ilmu jauh lebih beerti dari mengenali batang tubuh baginda. Inilah perbandingan semasa bagaimana orang melayu yang islam keturunan dengan orang yang baru masuk islam hasil pengkajian ilmu.

Persoalan kedua ialah berkaitan dengan perjuangan bangsa. Jelas Rasulullah bukan pejuang bangsa. Malah orang yahudi adalah pejuang bangsa sebenar. Mereka mengenali Rasulullah malah mengajar orang tentang Rasulullah tetapi menolak baginda lantaran sikap mengutamakan bangsa. Rasululullah ditolak kerana baginda bukan bangsa Yahudi. Jika kita juga menilai kebenaran dan keadilan melalui kacamata bangsa. tidak banyak beza antara kita dan Yahudi.

Alangkah baiknya jika Hijrah tahun ini kita menilai dua persoalan pokok berlakunya hijrah. Paling penting hijrah tidak berlaku jika tiada keberanian. Perubahan hanya berlaku apabila ada keberanian mencuba sesuatu yang lain dari kebiasan. Inilah sifat orang yang berjaya. orang yang hanya melalui dan melakonkan kebiasan dalam hidupnya akan berakhir dengan kebosanan. Semoga Hijrah tahun ini adalah tahun yang membawa banyak perubahan dalam hidup kita bersama. Paling penting merubah pemikiran masyarakat yang sarat dengan faham bangsa yang mambabi buta kepada keadilan dan keterbukaan Islam yang indah.

SELAMAT BERTEMU DAN BERJUANG DI TAHUN HIJRAH 1430

Tiada ulasan: