Sekali lagi saya terpaksa berpisah sementara dari dunia blog ini. Kali ini Cabaran Kelantan menanti dari 23-29 Mei.Moga berjumpa lagi di awal Jun insyaAllah. Apa yang penting... apa yang kita baca mestilah mampu merungkai apa yang tersirat dari yang tersurat
Wednesday, May 21, 2008
MENUAI HASIL
Tsunami atau nargis??? itu tidak penting... yang penting apakah kesan yang berlaku.....
Mahathir telah mengistiharkan keluar UMNO...diikuti anaknya Mokhzani...Mukhriz sedang menanti.... Antara isu sensasi negara yang menanti perkembangan selanjutnya... Gelora perpecahan tidak dapat dibendung lagi...seakan berkerat rotan... Ku Li pernah membawa gerombolan pengikutnya menentang UMNO...terseret bersama ketika itu termasuk Abdullah Badawi dan Rais Yatim serta Sabri Chik yang kini dalam team Abdullah Badawi. Anuar Ibrahim mencetuskan satu lagi gelombang walaupun Ku LI dan pengikutnya telah kembali... Pengaruh Ku Li membuka ruang kemenangan PAS di Kelantan. Gerombolan Anuar membuka ruang kemenangan PAS di Trengganu walaupun untuk seketika.... Kini Anuar kembali setelah terbit dari Sg Buluh dengan gelombang yang lebih kuat walaupun bukan sepenuhnya dari beliau.. Kita menanti pula sejauh mana gelombang Mahathir yang keluar dari UMNO tetapi hanya menentang Presiden yang beliau jelmakan sendiri.
Ramai pemimpin utama UMNO tidak memberi ulasan melainkan secara berhati.... tentunya untuk melihat pihak mana yang lebih berpengaruh.. Budaya UMNO yang hanya menyokong siapa yang menang. Apapun yang pasti perpecahan ini masih berkisar tentang kekuatan kuasa politik di kalangan orang melayu.
Mahathir sedang melalui baki usianya dengan menuai hasil benih yang ditanamnya sendiri... Tidakkah "Abdullah adalah penganti saya???" ucapan mahathir yang masih terngiang di telinga saya...
Monday, May 19, 2008
MEMULAUKAN DIRI
"Mahatihir keluar UMNO". mesej ringkas yang saya dapat dalam perjalanan pulang dari Redang."Lawaknya dia ingatkan orang yang ikut dia jangan masuk parti pembangkang".Komen kawan yang kemudiannya menalifon.
Belum habis melayu diseru berpadu, kini melayu berpecah lagi.... Kenapa seruan perpaduan dari NGO Melayu ini terus layu??? Seorang guru saya pernah berkata: " Sesuatu yang lahir dari hati akan singgah di hati" Sememangnya seruan NGO itu tidak langsung singgah di hati saya malah hanya lalu didepan mata. Melayu diminta bersatu dengan UMNO menjadi tulang belakangnya. Wajarkah sebuah parti yang terlalu banyak berpecah ingin menjadi teras perpaduan??? Bermula dengan serpihan UMNO menubuhan Persatuan Islam Semalaya. Sejarah selepas merdeka menyaksikan banyak perpecahan dalam UMNO. Saya yang dilahirkan di era 70 an hanya mampu melihat kesannya. Namun Pengharaman UMNO dan tertubuhnya semangat 46 kemudian tersingkirnya Anuar Ibrahim adalah detik perubahan yang jelas saya saksikan.Apa yang pasti perpecahan itu bermula kerana merebut dan mempertahankan kuasa kepimpinan.
Kini Tun Mahathir yang menanti disingkirkan terpasksa menyinmgkirkan diri. Kalau disingkir seperti yang pernah dilalui dulu mungkin sahamnyamelonjak. Kini Mahatihir terpaksa menyingkirkan dirinya dari UMNO, namun tidak juga memasuki mana mana parti. Ia Ibarat MEMULAUKAN diri dari tanah besar.
Sememangnya sebagai Muslim yang mukmin kita meyakini bahawa pokok tanpa tunjang akan tumbang. Bagaimana pula ia mampu berperanan menumpangkan dirinya sabagai sandaran untuk orang lain?
Dalam Hadith rasul menghuraikan tentang perpaduan ayat Ali Imran 103, rasul menjelaskan hanya AlQuran mampu menyatukan hati manusia.Ia adalah taliAllah yang Kukuh, Cahaya yang terang, penawar bermanafaat, pendinding dosa dan hanya orang yang mengikutinya akan berjaya.Rasulpernah diingatkan oleh Allah bahawa baginda tidak akan mampu menguasai hati manusia sekalipun membelanjakan seluruh harta di dunia, hanya Allah yang menyatukan hati manusia.
Tun pernah mengeluh mengenangkan orang yang pernah mencium tangannya dulu kini mencacinya. Moga Tun mengerti selagi manusia dibeli dengan harta dan kuasa, ianya bersifat sementara. Akhirnya Tun membawa diri ke pulau.Dan yang pastinya sebagimana ulasan Presiden PAS, UMNO sudah tidak boleh dipercayai. Kini UMNO semakin reput dan mati...maka masihkah NGO bidang terjun yang ditubuhkan kononnya mengharapkan melayu bersatu akan menaruh harapan pada UMNO lagi??? hanya PAS pilihannya kini.....
LAMBAIAN REDANG
Kekangan masa sekali lagi menjauhkan saya dari dunia maklumat terkini. Kali ini lambaian Redang Trengganu untuk kursus lanjutan pula menggamit.Walaupun banyak perkembangan semasa berlaku, terpaksa saya abikan sementara. Kekangan masa menyebabkan saya terlepas untuk mengucapkan kalungan tahniah dan terima kasih sempena hari Guru yang berlalu 16 Mei kerana tarikh itu adalah perjalanan saya ke Trengganu.
Keindahan alam Pulau redang terutama taman lautnya memang mengkagumkan. Kebesaran Allah dan kekerdilan diri terasa apabila menjengah alam lautan yang penuh terumbu karang dan hidupan laut. Maha suci Allah. Kesombongan makhluk bermula apabila mereka lupa melihat sekeliling. Sifat keakuan adalah punca bagaimana Iblis dilaknat. Budaya cermin mata yang sepatutnya membantu kita melihat kehebatan sekeliling ditukar sebaliknya dengan melihat kesalahan orang lain. Budaya cermin muka yang sepatutnya melihat kekurangan diri diterbalikkan untuk melihat kelebihan diri.Itulah perlunya teman bagi menegur kekurangan bukan hanya memuji kelebihan.
Monday, May 12, 2008
MAMUN APA????

Sekian lama menghilangkan diri, tiba tiba muncul dengan isu nak letak jawatan ADUN dan tanding semula. Mungkin inilah kebangkitan semula Tajol Rosli setelah terkejut BERUK kehilangan kuasa MB. Tajol yang dilaporkan akhbar mengurung diri beberapa hari di kediaman Rasmi MB Perak setelah BN jatuh selepas 8 Mac. Beliau hanya kelihatan hadir ketika majlis angkat sumpah MB YANG tergendala di Istana Bukit Chandan beberapa hari selepas kejatuhan BN Perak.itupun difahamkan dengan tujuan nak ambil kesempatan kalau masih ada ruang boleh jadi MB semula. Mungkin selepas melihat Dr Zamry Kadir yang lebih sudu dari kuah dalam kebanyakan isu, kini Tajol muncul kembali.... tapi sayangnya dengan isu yang terlalu lemah longlai. Nak letak jawatan dan kemudian bertanding semula bagi menguji kekuatan BN dan PR adalah perangai kebudak budakan. bukan seorang bekas MB yang pernah menduduki jawatan Timb. Menteri.
Rasol tak berwahyu dari Trengganu dan hawariyyun nya telah terlebih dahulu bersandiwara begitu. Akhirnya terkedu apabila wartawan menyatakan mereka tidak boleh bertanding semula jika meletakkan jawatan mengikut peraturan SPR. Comeback Tajol melucukan. Cukuplah ianya dijawab oleh naib ketua Pemuda PAS Ipoh Timur sahaja. Bagi yang matang berpolitik, itu satu contoh LAWAK dari orang yang baru bangun dari pengsan kekalahan. Kalau bangun dari tidur dengan terkejut ....orang akan kata... MAMUN APA????
MUFTI OH MUFTI.
Ketika Rasul menyiapkan tentera ke Mekah,seorang Muslim bernama Hatib Bin Abu Baltaah telah menyusup surat keluar ke Mekah. Dengan petunjuk Allah utusan Hatib berjaya dipintas oleh Ali yang dihantar Rasulullah. Hatib akhirnya menjelaskan kedudukan sebenar yang mendorong beliau bertindak begitu.Bukan mengkhianati rasulullah.Beliau dibebaskan oleh Rasulullah. Surah Al Mumtahanah ayat 1 menjelaskan keadaan itu.
Abu Sufyan yang gagal menemui Rasulullah di Madinah akhirnya pulang ke Mekah. Melihat tentera Rasulullah yang ramai menakutkan Abu Sufyan. Akhirnya memeluk Islam. Rasulullah yang mengetahuisikap Abu Sufyan yang suka membangga diri telah meletakkan rumah Abu sufyan sebagai salah satu kawasan selamat. Itulah kehendak Abu Sufyan yang akhirnya mendorong ia menjadi tenaga utama perkembangan Islam.
Kemelut di Perak dikatakan didalangi oleh beberapa orang yang berlindung dibalik tabir> Antara nama popular adalah Datuk Anuar Zaini, Pengerusi BERNAMA.Kemelut pengarah JAIP mengheret beberapa nama yang selama ini sengaja didiamkan oleh Pimpinan PR atas harapan mereka mampu mengikut arus. Namun sia sia. BermulaDato Jumry, kini beberapa nama dalam senarai perhatian untuk dinasihatkan menukar sikap mereka.Antara orang yang popular di Perak adalah Dato Mufti Harussani. Mencipta nama dengan beberapa fatwa bercanggah dengan Allahyarham Dato Ishakbaharum. Saya masih ingat keratan akhbar berkenaan hukum insuran nyawa antara Allahyarham Dato Ishak yang mengharamkan dan Dato Harusani mengharuskan yang ditampal di masjid lama Bruas.Lanjutan itu pelbagai isu kontroversi dikaitkan dengan dato Harusani.
Beliau muncul sebagai orang yang dilihat berani menegur Sure Heboh dan Isu murtad. Namun mungkin ramai tidak melupakan bagaimana Dato Mufti mengkhianati sumber maklumat berkaitan Azhar Mansor. Pemberi maklumat akhirnya didedahkan apabila Dato Mufti cuba berlepas diri. Kemenangan Pakatan Rakyat sekali lagi menonjolkan peranan Dato Mufti. Tidak ramai yang tahu peranan Harusani menghubungi Pimpinan utama PAS menganjurkan bersatu menyelamatkan kuasa Melayu di Perak. Beliau juga lah dikatakan mengeluarkan ucapan yang tak selari dengan dasar kerajaan PR ketika melawat anak Perak di Mesir. Inilah wajah Harusani yang dilihat wira dalam isu murtad.Kami di Perak sedang menanti dengan penuh minat perkembangan ini. Mengapakah Harusani tiba tiba mencampuri urusan politik yang pernah beliau nasihatkan agar digantung di pagar masjid ketika mengajar di Masjid Daerah Kuala Kangsar... Apa agenda sebenar dato mufti tidak diketahui... yang pasti, orang PAS di LUar tak perlu terlalu mengkaguminya kerana kami di Perak lebih mengenali.....
SELAMAT HARI IBU.

Dan kami wasiatkan manusia terhadap kedua ibu bapanya. Ibunya mengandungkannya dalam keadaan lemah dan semakin lemah..menyusukannya selama dua tahun. apakah kamu bersyukur kepadaku dan kedua ibu bapamu? demikianlah petikan Al Quran Surah Luqman ayat 14.
Rasulullah pernah ditanya: kepada siapakah aku perlu berbuat baik, jawab baginda Ibumu (diulang tiga kali)kemudian bapamu.
Ibu adalah insan paling berharga. Bagi seorang anak lelaki, ibulah tempat diserah seluruh kasih sayang setelah Allah dan Rasulnya. Kasih sayang ini tidak terangkat sekalipun ibunya bukan muslim melainkan jika disuruh beliau menderhakai Allah. Ramai antara anak kini terpaksa mengabaikan ibu bapanya kerana tuntutan ekonomi dan isteri.Akhirnya terlantar ibumenagih kasih anak cucunya.
Pernahkah kita bertanya.... Betapa sukar saat mereka melahirkan kita? Betapa lama mereka bersekang mata menidurkan kita? Betapa resah jiwa mereka menanggung kesakitan kita? Betapa pula pilunya hati mereka kerana sikap kita? Pernahkah kita bertanya atau hanya kita menganggap itu sudah jadi kewajipan mereka?? Buat Ibuku
Pada jernih wajah itu,
Tersimpan selaut kasih tanpa tepian,
Pada senyuman itu,
Tersimpan lara mendewasakan aku,
Dan dari getar suara itu,
Tersimpul nasihat menyuluh hidupku.
Selaut kasihmu
Tak mampu kubalas dengan segunung intan,
Sejuta laramu tak mampu ku tebus sepanjang hayatku,
Dan nasihatmu..menyulam kedewasaanku.
Tiada kata mampu kuucapkan
Tiada bahasa mampu ku atur
untuk ku persembahkan buat penghibur
selain untaian doa yang penuh pengharapan
Buatmu Ibuku
Ya Allah, Ampunkanlah dosa kedua Ibu bapaku
Rahmatilah keduanya sebagaimana mereka mengasihi tika kecilku
dan masukkanlah keduanya
ke dalam syurgaMu...
Amin Ya Rabbal Alamin!!!
PEMBELA ISTANA...
Beberapa hari saya tidak dapat menjenguk dunia siber kerana berkampung di Pulau Pangkor mengikuti Kursus pengendalian enjin bot sangkut.Kursus yang terlalu jauh dari dunia kerjaya saya tetapi terlalu hampir dengan dunia hobi saya. Beberapa perkembangan menarik sedang berlaku khususnya sandiwara pendaulatan institusi raja.
Mingguan Malaysia melaporkan bagaimana Menteri Pelajaran yang juga Ketua Pemuda UMNO mengadap Baginda Sultan Perak dan Raja Muda. Pertemuan ini dikatakan berikutan susulan kebiadaban Karpal terhadap institusi beraja khususnya berkaitan isu pertukaran 24 jam Pengarah JAIP dan ucapan perasmian DYMM SPB Yang Dipertuan Agong. Kita tidak tahu apa sebenarnya yang terlintas dalam fikiran Karpal sebagai senior Politik di Malaysia. Sebagai seorang yang berpengalaman tentunya kenyataan itu mempunyai tujuan politik yang jauh . Kita tidak hairan jika BN mengambil kesempatan isu tersebut di saat kekurangan isu yang boleh dimainkan. Tidak wajar kita terjebak sama dalam isu tersebut. Cukup pandangan seimbas lalu seperti Kenyataan TG Nik Aziz. Menjelaskan pendirian kita sudah cukup. Kita tidak bersama dengan Karpal tetapi kita juga tidak melihat ianya isu yang perlu kita bersama.
Saya melihat Karpal seakan menahan Lukah dalam isu ini. Lukah itu mula dilihat mengena apabila Nazri Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan juga perlu di ambil terhadap kelompok yang mengkhianati Sultan Trengganu yang juga DYMM SPB YDP Agong. Karpal menafsirkan Undang undang yang sememangnya terbuka untuk ditafsirkan. Kesalahan menafsirkan undang undang hanya dilihat sebagai kesilapan tetapi istilah NATANG oleh puak yang menentang keputusan istana Trengganu adalah melampau. Di saat isu tersebut digelapkan oleh media, kini ianya terpancul melalui isu Karpal. JANGAN LUPA!!! Idris Jusoh menyatakan tindakan mereka direstui oleh PM. Apakah Hisyamudin terlajak langkah lagi kerana terlalu ghairah. Lebih terlajak lagi, ada pimpinan UMNO mengaitkan kebiadaban Karpal beerti penghinaan terhadap Islam yang dinaungi istana.
BRAVO......Secara tiba tiba UMNO dan BN menjadi juara pembela Istana dan agama setelah menjadi juara pembela Melayu. Walaupun orang melayu MUDAH LUPA..tetapi itu melayu dulu... saluran satu... tidak melayu kini.... Kita masih ingat siapa yang mencabut imuniti raja raja.... Siapa yang menabalkan sultan Kelantan kedua... Siapa yang berhimpun menolak keputusan istana Trengganu dan Perlis. Siapapula yang menghapuskan tulisan Jawi,Siapa yang menukar bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia dan menukar bahasa tersebut di institusi pendidikan dari peringkat rendah hingga IPT???
Hisyamudin terpaksa menjilat semula darah di keris yang pernah dicabutnya dulu. Sebagaimana Khairy yang mencadangkan kebebasan Media dengan memansuhkan Akta mesin cetak.... Hebat lakonan ini. Mereka yang memukul kini mereka menangis kesedihan sebagaimana pepatah arab...mereka memukul, mereka menangis..mereka menzalimi, mereka yang mengadu.... Semuanya demi kesempatan POlitik dan usaha mereka ini turut dijulang oleh media yang mereka sedari sendiri tidak bebas.... inilah duni politik........ yang kadang kala tidak difahami oleh mereka yang diluar dunianya, walaupun dari seorang mufti kerana tidak mahu mencampuri dunia politik.....
Lebih lebih lagi mufti yang mencadangkan agar politik disangkut dipagar masjid.... MUngkin benar kata Ketua Pemuda PAS Perak.... politik itu akan dilarikan anjing kerana disangkut di pagar masjid.... tentu mufti itu turut kebingungan dengan mainan politikdan akhirnya menjadi kuda taunggangan orang politik.....
Tuesday, May 6, 2008
Apa dah jadi???

Apa dah jadi???apa dah jadi?? antara lirik lagu SM Salim....Berita semalam - seorang lelaki dipukul hingga mati oleh 20 orang kampung kerana disyaki mengintai.Kejadian berlaku di negeri paling utara Perlis "Darul Sunnah". akhbar tadi pula melaporkan seorang dipukul hingga patah rusuk dan cedera kerana dipukul akibat disyaki mencuri wang dan barang hantaran.INi pula berlaku di Kuantan.Gejala ini sudah menular dikalangan orang kampung, bukan lagi hanya di kalangan mat rempit. Apa sebenarnya musibah yang sedang melanda kita??? Dimana nilai keinsanan? Atau sebagaimana di sebut Al Quran- golongan yang berkedudukan lebih hina dari Binatang, kerana meninggalkan hidayah Allah.
Masyarakat telah mengambil undang undang di tangan mereka. Apakah ianya sinambungan dari hilangnya kepercayaan terhadap penguatkuasaan Polis yang dikaitkan dengan rasuah atau kehakiman yang dilihat telah musnah susulan tersebarnya video Linggam. Apakah sebenarnya mentaliti masyarakat malaysia kini istemewanya orang melayu yang dilihat dulunya penuh kesopanan.NGO Melayu tidak hanya perlu menyibukkan diri sekadar untuk menyatukan Melayu dalam keadaan membiarkan jatidiri melayu terus hilang. Usaha ini akan dilihat lebih ikhlas dari bersuara menyatukan melayu yang lebih dilihat bersifat kuda tunggangan.
Pihak polis tidak hanya perlu menasihatkan masyarakat supaya jangan mengambil undangn undang di tangan sendiri dalam keadaan pihak polis gagal menunjukkan sikap profesional yang tinggi. Tuduhan rasuah di kalangan pegawai tertinggi polis gagal diselesaikan dengan cara yang meyakinkan masyarakat. Dengan hanya BPR memaklumkan bahawa tiada wang bernilai 5 juta ringgit dalam akaun pegawai tersebut hanya menjadikan peristiharan itu bahan lawak semata mata.Beberapa kematian tahanan reman didalam lokmap polis juga menjadi faktor terhakisnya keyakinan rakyat terhadap polis. Tindakan polis dalam menangani perhimpunan rakyat anjuran bukan kerajan terutamanya isu di Kuala Trengganu cukup menjadikan luka itu bertambah parah. Apakah menggunakan peluru hidup terhadap rakyat yang tidak bersenjata tidak beerti mengambil undang undang di tangan sendiri???? Persoalan ini mesti ditangani dengan ikhlas....sebelum sesuatu yang lebih parah terus berlaku...
Saturday, May 3, 2008
MENJUNJUNG TITAH
.jpg)
Berita Pertukaran 24 jam Pengarah JAIP masih menjadi bahan kempen murahan BN memburukkan Pakatan Rakyat Perak khususnya MB. Arahan Sultan supaya pertukaran itu ditarik semula seakan memperlihatkan kelemahan MB kerana membelakangkan Sultan sebagai ketua agama. Saya mendapat pelbagai soalan dari teman dan rakan luar Perak. Sebagai pendokong Kerajaan Pakatan Rakyat pastinya bertamggungjawab merungkai kekusutan dan kegelisahan pendokong luar ini. Bak kata mafhum hadith " Bila satu anggota badan sakit dan demam, maka anggota lain saling mengajak untuk rasa sakit tersebut" Mungkin kerana hubungan itulah terbitnya kegelisahan dari sahabat di seluruh negara.
Nazri Aziz beranggapan MB tak tahu undang undang,Zamry Kadir yang dah balik ke Pulau Pangkor turut berkokok seakan MB buangan yang jawatan itu sama tarafnya dengan ketua Kampung lantikan JPP, atau lebih rendah dari itu.Dengan nada berakhlak Datuk Seri Nizar dilaporkan akhbar akan memohon sembah maaf kepada Sultan. Sikap yang hampir sama dengan Timb Ketua Menteri P Pinang menghadapi kemelut YDP Agama pulau Mutiara itu.Mereka akan menghadap secara beradab. Sudah pastinya bagi menjelaskan kedudukan sebenar dari pandangan sebelah pihak.Satu sikap yang tiada pada mana Menteri atau MB BN bila bertelagah dengan Sultan.
Bagi kami di Perak, kebanyakannya berlapang dada dalam kemelut kecil ini. Kami meyakini kebijaksanaan Duli Tuanku menyelesaikan masalah.Ia seakan mengulang kemelut majlis angkat sumpah perlantikan MB yang ditangguhkan sedikit masa dulu.Bukan tiada restu Tuanku tetapi mendapatkan hitam putih bagi menjernihkan keadaan seterusnya menutup mulut cabul yang menunggu peluang membelasah kerajaan Perak.Episod kebijaksanaan tuanku ini sedang ditunggu selepas MB mengadap baginda. Lampu isyarat telah menyala menunjukkan restu apabila tuanku dilaporkan meminta laporan bertulis. Barsabar menanti tindakan bijaksana Tuanku Sultan adalah sikap rakyat Perak yang memahami perkembangan suasana tanpa menjadikan media rasmi kerajaan sebagai "Quran" dalam menerima laporan . Banyak tokok tambah termasuk kononnya MB dipanggil mengadap, Surat tunjuk sebab dan pelbagai perkara lain yang perlu ditimbang dengan akal yang matang. Bukan dipanggil untuk menyerahkan surat tunjuk sebab tetapi mendapatkan laporan dan pengaduan rasmi....Tunggulah Tuanku menggunakan budi bicara dan kuasanya yang pasti akan menyebabkan Jamry kehilangan kerusinya. Lebih berhemah....bijaksana dan tiada lagi suara sumbang akan berkumandang.... Daulat Tuanku!!!...
Thursday, May 1, 2008
KEMATIAN

Kematian suatu perlaksanaan janji antara hamba dan tuhan. Menjejaki alam baru dalam perjalanan setelah melalui beberapa alam terdahulu. Dari alam ruh menempuh alam rahim,menumpang alam dunia, singgah di alam barzakh sementara menanti dipanggil di alam mahsyar sebelum sampai di alam akhirat. Ianya tak perlu ditanya...cuma bersediakah kita yang perlu sentiasa dibicara.
Sahabat dari Kedah Ust zamri memaklumkan berita kematian Ustaz Saiful Hazmi yang pernah bersama di Bangi dan Tawau Sabah. Beliau menghembuskan nafas diusia akhir 30an kerana serangan Jantung petang rabu di Kedah Darul Aman.Itulah kematian yang tiada siapa menjangkakan. Alfatihah untuknya.... Bagaiman pula kita??? Moga akhir hayatku ketika di kemuncak perjuangan menegakkan Agama Allah.......Doakan....
Wednesday, April 30, 2008
DURI DALAM DAGING
Duri dalam Daging, gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut dan bermacam lagi kiasan orang melayu terhadap golongan yang sebenarnya disifatkan sebagai Munafiq. Ianya mungkin menyamai apa yang sedang dirasai kerajaan Pakatan Rakyat di Perak sekarang. Pengalaman Kelantan sedikit sebanyak boleh menjadi panduan menghadapi kemelut tersebut. Tuan Guru Nik Aziz pernah meluahkan betapa sukarnya beliau sebagai MB untuk mengarahkan pegawainya khususnya SUK melaksanakan misi kerajaan negeri. Tentu Perak yang merupakan sebuah negeri bekas negeri negeri Bersekutu di zaman penjajahan dulu lebih sukar. Semua pegawai tinggi termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Daerah dan Pengarah Jabatan Agama Islam sendiri adalah pegawai Persekutuan. Ianya benar benar menguji kesabaran MB dan Exconya.Kesabarannya tersebut mungkin telah sampai ke tahap yang tak dapat dibendung lagi- arahan pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak 24 jam. Beliau telah diberi tempoh 40 hari.Golongan ini semacam mewujudkan pakatan dalam menghadapi dan menganggu serta memburukkan kerajaan negeri.
Saya menghubungi beberapa sahabat yang bernaung di bawah bumbung Jabatan Agama. Respon pertama yang diberi...elok la pun...karat UMNO... malah yang lebih agresif memang dia tu s...n pun.Menurut sumber masih ada proksi beliau yang berakar umbi di Jabatan Agama. Sumber memaklumkan kemuncak kemarahan kerajaan negeri adalah susulan lawatan beliau bersama mufti ke Mesir. Pelajar Perak yang menghadiri majlis pertemuan tersebut memaklumkan apa yang berlaku.Mungkin tidak wajar dibicarakan. Sesiapa yang ada rakan taulan pelajar Perak di Mesir mungkin boleh mendapat maklumat yang tepat. Di samping itu ada beberapa isu lain menunjukkan beliau menjalankan kerja BN menggunakan saluran Jabatn Agama terutama memastikan penguasaan UMNO di Masjid, selain menyukarkan pengurusan kewangan. Beberapa pegawai dalam perhatian dan menunggu masa sesuai untuk diambil tindakan demi membersihkan kerajaan negeri dari duri dalam daging ini. Jangan terkejut jika suatu hari nanti nama Dato Harusani- Mufti Perak tersenarai sebagai salah satu nama yang dicurigai
Bagi mereka yang rapat dengan kerajaan negeri memang telah lama mengetahui suasana tersebut.Tiada apa yang mustahil dalam suasana dunia hari ini terutama melibatkan sikap manusia. Golongan Munafiqin yang menjadi duri kepada kerajaan Madinah sewajarnya menjadi perhatian kepada kita...dan lebih tepat peringatan Allah tentang pandangan manusa terhadap golongan tersebut di dalam surah Munafiqun. Saya antara orang yang agak terpesona dengan sebahagian penampilan dan gaya bicara mereka sekali sekala...tetapi ayat Allah adalah panduan paling bernilai yang mendedahkan semuanya......Apabila kamu melihat mereka, kamu merasa taajub dengan diri mereka, apabila mereka berkata kamu mendengar kata kata mereka, seakan mereka pohon kayu tersandar. Merasakan setiap suara keras ditujukan kepada mereka. Mereka itu adalah musuh dan hendaklah kamu waspada...(Munafiqun ayat 4).
Bagi yang tidak memahami, jangan mudah melatah dengan berita yang diterima. Rujuklah dari sumbernya.... terlalu banyak duri dan gangguan dalam perjalanan kerajaan Perak yang sedang meniti usia muda hari ini. Bersamalah kita berdoa agar Allah sentiasa membantu.....
Saturday, April 26, 2008
MASJID

Masjid Quba adalah masjid pertama di bina oleh Junjungan mulia Muhammad SAW ketika singgah dalam perjalanan ke Yatsrib. Adalah pelik bagi Nabi SAW meninggalkan Mekah yang terbina masjid agong yang dikenali Masjid Haram menuju sebuah bandar yang belum dibina masjid didalamnya. Apakah Masjid haram tidak penting atau nabi kita ingin mencari nama membina masjid baginda sendiri???? Persoalan itu tidak sepatutnya muncul dari mulut yang memahami dan meyakini kesucian jiwa Muhammad SAW. Walaupun Mekah tempat yang mulia dan masjid Haram adalah masjid yang disebut oleh baginda sebagai tempat yang paling utama diziarahi selain masjid Aqsa dan Nabawi. Inilah rahsia hijrah yang perlu difahami... persoalan bagaimana masjid diuruskan adalah perkara penting. Masjid bukan sebuah tempat atau bagunan yang mulia kerana dirinya semata mata sebagai rumah Allah tetapi juga keutamaannya terletak bagaimana ianya diimarahkan.Dalam sebuah hadith diriwayatkan Abu Daud "Dari Annas bin Malik ...Rasulullah bersabda: tidak berlaku hari Qiamat sehingga ummatku bermegah dengan binaan masjid.(Abu Daud)
Masjid ibarat jantung dalam sebuah masyarakat setempat.Jika jantung mampu berfungsi dengan baik dan darah dari seluruh anggota tubuh masuk keluar memungut barakat masjid untuk dibawa pulang sehigga rumah menjadi tempat yang barakah. Andai masjid gagal berfungsi atau masyarakat setempat tidak menjadikan masjid tempat dikunjungi memungut barakah Allah yang turun di situ maka apakah nilai masjid tersebut. Jauh sekali barakath Allah dimiliki jika masjid hanya tempat lawatan yang dibanggakan.
Kini isu JK masjid menjadi rebutan di negeri yang dikuasai Barisan Rakyat. Antaranya negeri Perak Darul Ridzuan.Bagi pendokong kerajan baru merasakan masjid perlu difungsikan semula setelah sekian lama sekatan dilakukan. Maka JK perlu dirombak semula. Bagi JK lama yang sebahagiannya mendokong pembangkang kini merasakan amat perlu menjadikan masjid sebagai media alternatif masyarakat Islam di kampung masing masing.
Persoalan dari pihak manakah JK masjid bukanlah persoalan pokok. Persoalan utamanya ialah siapa yang paling layak mengimarahkan masjid.JIka JK lama mungkin layak meneruskan kerja dan masjid tersebut sememangnya telah diimarahkan , maka mereka sewajarnya diberi kepercayaan untukmeneruskannya. Malah ianya lebih baik dari mereka yang tidak pernah ke masjid selama ini walaupun pendokong kerajaan yang ada. Masjid adalah rumah Allah : hanya mereka yang layak mengimarahkan rumah Allah ialah mereka yang beriman ......
Wednesday, April 23, 2008
MOTIVASI PEJUANG
Sesungguhnya gerakan Islam kebiasaannya berkembang dengan begitu pantas yang boleh mengejutkan manusia. Ia boleh meletus secara tiba tibasebelum para pemerhati mengenal tanda tanda amarannya yang menyebabkan ia sukar di kaji- PROFf. GIBB.
Apabila orang yang tidur terjaga, pengecut menjadi berani, lemah menjadi kuat, yang diusir kembali,yang berpecah barsatu kembali, Tiba tiba titisan kecil inidatang berturut dari sana sini akhirnya membentuk satu limpahan banjir yang besar dan tidak dapat dihalang oleh mana mana empangan. Adalah tidak sesuai seorang pendakwah dikuasai kekecewaan terhadap kemenangan dakwah risalahnya bahkan pendakwah sebenar ialah mereka yang mampu menewaskan kekecewaan tersebut dan pengharpan kepada Allah mengatasi bimbang dan takut kerana ia mengetahui Allah bersamanya. - YUSOF QARDHAWI.
Kemenangan semakin hampir walaupun tekanan semakin keras dan fajar pasti terbit walaupun kegelapan berpanjangan- HASSAN ALBANNA.
Tuesday, April 22, 2008
PERPADUAN???

Mengikat dan menyatukan manusia tidak sama dengan mengikat batang buluh menjadi sebuah rakit. Buluh adalah pohon yang mati setelah dipotong, ia tidak meronta, tidak melarikan diri dan yang lebih utama ia tidak tahu berpura pura untuk menyerahkan dirinya untuk diikat. Ia tidak punya hati dan perasaan jauh sekali memiliki kepentingan diri. Seorang yang mempunyai kemahiran , pengetahuan dan kekuatan dengan masa yang singkat mampu mengikat seberkas buluh menjadikan sebuah rakit.
Menyatukan manusia bukanlah perkara mudah. Ia tidak semudah mengikat seberkas buluh. Manusia mempunyai perasaan dan keinginan. Lebih sukar lagi kerana manusia pandai berpura pura.Bangsa arab melalui zaman perpecahan dan peperangan yang panjang.Hanya setelah kedatangan Islam , bangsa yang berpecah ini dapat disatukan, malah penyatuan mereka bukanlah pura pura. Rahsia inilah sebenarnya yang perlu dibongkar kembali oleh bangsa melayu yang dikatakan menghadapi perpecahan.Seruan ke arah perpaduan hanya dialunkan kembali setelah 8 Mac.Bangsa melayu seakan menghadapi zaman gelap yang sukar. NGO melayu yang tak pernah muncul selama ini di saat bahasa melayu di ancam tiba tiba turun dari kayangan.Inilah pentas opera ....
Dalam surah Ali Imran 103 Allah menjelaskan soalperpaduan. " Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan jangan berpecah belah...". Dalam riwayat Ibn Mardaweh dari Abdullah rasulullah menafsirkan ayat tersebut " Sesungguhnya Al Quran inilah tali Allah yang kukuh, cahaya yang terang, ubat yang bermanafaat, pelindung bagi yang berpegang dengannya dan kejayaanlah bagi yang mengikutinya. Persoalan mengikat adalah penting tetapi yang lebih penting lagi agar ikatan itu tak terungkai ialah dengan apa hendak diikat.Maka sebagai orang beriman peninggalan rasulullah itulah yang telah terbukti sebagai pengikat yang kukuh. Semua yang lain darinya adalah kerja sia sia dan pura pura.Namun dalam kita melihat perpaduan sebagai perkara penting yang mesti diusahakan dengan ikatan Al Quran, Peristiwa yang berlaku dalam perang siffin juga perlu menjadi iktibar dan pengajaran untuk kita. Majlis tahkim yang berlangsung akhirnya menambah lagi perpecahan walaupun ketika itu penyatuan dilakukan dengan mengajak kembali kepada Al Quran.Di mana silapnya??? keikhlasan??? boleh diukurkah keikhlasan....??? mungkin petanda bila seruan itu dilaungkan dan sejarah perpaduan dan penyatuan sebelum ini boleh dijadikan skalanya.Mafhum hadis agar orang islam tidak disengat dalam lubang yang sama untuk kali yang kedua adalah pedoman kita dalam menentukan arah dan halatujunya....