Rabu, 3 Jun 2009

BERMUKTAMARLAH DENGAN AMANAH

Sepatutnya saya bersama rombongan Pemuda Tambun berada di Taman Melewar untuk Muktamar Dewan Pemuda. Namun keadaan kesihatan menyebabkan saya terpaksa membatalkan penyertaan di saat akhir.

Muktamar adalah ruang terbaik meletakan hala tuju perjuangan, memperkemaskan gerak kerja dan memantapkan semangat juang dalam usaha menyatukan fikrah dan amal. Andai medan arafah adalah himpunan pengabdian dan ukhuwwah dalam menyatukan hati semata mata kerana Allah, memperkemaskan tauhid dan jihad, maka muktamar PAS adalah medan menyatukan hati dan wala kepada Jamaah dalam memperkemaskan perjuangan. Ia medan meluahkan rasa untuk melihat jamaah lebih kukuh dan ampuh. Bukan medan melepaskan geram dan ketidakpuasaan hati atau ingin menonjolkan diri. Jauh sekali menjadi agen berkempen bagi calon yang ber tanding. Moga dilindung Allah dari merendahkan calon kepimpinan yang tidak disenangi.

Para perwakilan datang dengan amanah! Mereka datang bukan dengan mewakili diri sendiri biarpun kebanyakannya memilih menggunakan wang sendiri untuk mewakili parti. Menggunakan wang peribadi bukan alasan untuk membuat keputusan peribadi! Sebahagian kawasan telah menentukan wakil yang akan berucap. Ia telah dibincangkan dalam mesyuarat kawasan. Ia membawa aspirasi dan suara kawasan dan bukan suara hatinya. Jika ia lebih membicarakan suara hatinya ia dikira KHIANAT terhadap amanah! melainkan kawasan yang memberi kebebasan kepada wakil mereka.. tentunya kawasan tersebut tidak beramanah terhadap ahli bawahan mereka!

Tahun ini juga adalah tahun pemilihan. Ketika mengumumkan nama calon bertanding, Dato Mustafa Ali menjelaskan tujuan diumumkan awal adalah bagi membolehkan perwakilan membuat keputusan awal..... Mungkin ada kawasan yang melakukan solat istikharah, setelah dibincangkan dengan teliti, Syabas!

Ada Kawasan yang telah membuat keputusan beberapa jawatan penting utama di dalam mesyuarat Kawasan. Ia dipersetujui oleh perwakilan cawangan. Perwakilan kawasan tiada pilihan melainkan melaksanakan kehendak dan keputusan mesyuarat. Mereka hanya wakil sekalipun bertentangan dengan kehendak mereka sendiri atau mesyuarat JK kawasan kemudiannya. Jika mereka mengabaikan keputusan yang di buat mereka KHIANAT!

Apabila keputusan telah ditentukan oleh mesyuarat, Perwakilan menyedari mereka adalah wakil kawasan dan membawa AMANAH kawasan, pastinya unsur pengaruh dan lobi di perjalanan atau sesuatu yang memungkinkan amanah itu berubah tidak akan berlaku. Jauh sekali politik wang atau politik budi dan simpati. Sememangnya politik wang bukan budaya PAS namun politik budi atau simpati mungkin boleh berlaku. Andai perwakilan menyedari mereka membawa amanah kawasan...segalanya tak mungkin boleh merubah keputusan. AMANAH akan dipersoalkan oleh Allah!

Apapun yang berlaku. sekalung tahniah buat semua yang sedang memikul amanah Allah dalam perjuangan! SELAMAT BERMUKTAMAR!

Tiada ulasan: