Rabu, 10 Mac 2010

KERAJAAN HUTANG KEPADA 3 JUTA .



"Kami cuma menyediakan kata-kata, tapi PAS telah menyediakan orang-orangnya untuk berdemontrasi," demikian kata penghargaan Penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Datuk A Samad Said.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran buku sempena menyokong perjuangannya, khasnya berhubung pendiriannya ke atas dasar PPSMI sebelum ini.



Berucap di Muzium Shah Alam, Ahad lalu sempena genap setahun demonstrasi membantah PPSMI, A Samad Said berkata, pihaknya merakamkan rasa terima kasih terhadap PAS dan Harakah yang banyak membantu dalam usaha menggerakkan seluruh masyarakat untuk berhimpun dalam peristiwa setahun lalu.

"Sebenarnya, ada dua orang yang berperanan besar dalam hal ini, iaitu Hasni Abas dan Dinsman" tambah beliau lagi.

Selain itu, beliau juga mengulang pendiriannya bahawa hal pemansuhan PPSMI pada 2012 itu hanyalah penangguhan dan pendirian Menteri Pelajaran, merangkap Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini bukanlah pemansuhan total dasar tersebut.

"Jadi, kalau tidak dimansuhkan juga, kita tak akan teragak-agak untuk melakukan demonstrasi sekali lagi," katanya lagi.

Menyentuh hal penangguhan dasar itu menjelang 2012, seperti yang dibangkitkan A Samad Said sebelum ini, pensyarah bahasa di UKM, Prof Dr Nor Hashimah Jalaluddin berkata, hal itu memakan masa yang sangat lama.

"Bukankah kita ini kumpulan pendesak?" soal beliau, "Jadi, peranan kita sekarang ialah mendesak kerajaan supaya tidak lagi menangguhkan pemansuhan PPSMI itu. Kita mesti desak mereka mansuhkan pada tahun ini juga, iaitu pada tahun 2010."

Sementara itu, dalam majlis yang sama, Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan berkata, berikutan dasar PPSMI ini, kira-kira 3 juta pelajar sudah pun menderita akibat kecelaruan mereka dalam sistem pengajaran dan pembelajaran sebelum ini.

"Kerajaan telah berhutang sebanyak 3 juta murid-murid sekolah dengan kita melalui PPSMI ini," kata beliau lagi.

Mengulas hal yang sama, Hasni Abbas menyifatkan, hal keciciran 3 juta murid-murid sekolah yang terabai berikutan PPSMI itu sebagai hutang bahasa oleh pihak kerajaan.

"Sekarang, kita perlu menuntut semula agar hutang-piutang itu dilunaskan segera," tambah Hasni.

Berucap dalam majlis yang sama, Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Pendidikan PAS, Dato' Abu Bakar Chik berkata, hal pemansuhan PPSMI ini jika tidak diawasi dengan lebih waspada, nescaya ia akan berlanjutan ke suatu tarikh lain pula.

"Kita lihat, hal pemansuhan PPSMI ini berubah-ubah. Sekejap 2012, sekejap 2016, jadi tak mustahil ia boleh dilanjutkan kepada 2023," tambah beliau lagi.

Mengulas hal dolak-dalik di pihak kerajaan itu, Hasni berkata, beliau meyakini bahawa PPSMI akan dimansuh pada 2012 kerana pilihan raya umum ke-13 bakal berlangsung pada tahun berkenaan.

"Umno tahu jika PPSMI belum mansuh, berkemungkinan kedudukan mereka akan lebih parah dan kita pasti akan buat demonstrasi sekali lagi jika PPSMI belum dimansuhkan lagi sebagaimana yang mereka janjikan," kata beliau.

Bercerita mengenai pengalaman beliau menjelang usaha pemansuhan PPSMI itu, pengarang novel Salina yang terkenal itu berkata, kehadiran beliau selama ini sebenarnya cuma mengisi kesusasteraan Melayu sahaja.

"Saya bukan 'organization man', jadi mengapa seorang sasterawan negara yang tugas sebenarnya mengisi gerbang kesusasteraan, akhirnya telah mengambil sikap untuk turun ke jalan raya?" soal beliau.

Ini kerana, tambah beliau, kerajaan telah bersikap curang terhadap perjuangan bahasa dan hal itu yang mendorongnya bertindak sedemikian, menggunakan jalan raya bersama rakyat.

Ketika membangkitkan kenangan lama, dalam peristiwa 7 Mac tahun lalu, beliau berkata, pihak polis pernah memujuk Hassan Ahmad bersurai, tetapi hal itu ditangani rakannya itu dengan penuh kebijaksanaan.

"Dalam keadaan polis meminta Hassan memujuk demonstran agar menyuraikan perhimpunan itu, beliau dengan warasnya telah memberitahu bahawa tugas pihak polis ialah untuk mengamankan perhimpunan itu.

"Tetapi, ada yang tersirat di situ yang tidak diluahkannya kepada pihak polis, iaitu tugas kamilah pada hari itu yang menggelorakan perhimpunan tersebut," kata beliau lagi.

Sementara itu, Pengerusi GMP, Datuk Hassan Ahmad berkata, perhimpunan menyerahkan memorandum itu tidak sepatutnya diganggu polis.

"Mulanya, mereka beri permit untuk berhimpun, kemudian tarik balik, jadi kita tiada pilihan, apa yang kita nak beritahu kepada orang-ramai kalau mereka tanya?

"Lagi pun, perhimpunan ini sebenarnya bukanlah demonstrasi, ia macam suatu perarakan, macam sambut Maulud Nabi saja. Salahkah?" soal beliau.

Oleh H Fansuri.- DETIK DAILY

Tiada ulasan: