Jumaat, 2 April 2010

PERANG LOBI BN DI HULU LANGAT

KUALA LUMPUR, 2 April — Barisan Nasional (BN) rata-rata dipercayai boleh menguasai semula kubu kuatnya — kerusi Parlimen Hulu Selangor — jika meletakkan calon selain Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel, demikian hasil tinjauan umum kendalian The Malaysian Insider baru-baru ini.

Malah, The Malaysian Insider juga mendapati pengundi-pengundi Melayu sedia menerima sesiapa sahaja calon BN dan akan mengundi wakil MIC, tetapi pengundi kalangan masyarakat India, yang mewakili 19 peratus daripada 60,000 pemilih berdaftar, tidak “gembira” idea agar Palanivel bertanding semula di Hulu Selangor meskipun MIC menamakan beliau.

Samy Vellu telah menamakan semula Palanivel atas dasar kedudukan nombor dua beliau dalam parti.

Setakat ini hanya satu nama yang telah diserahkan kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak oleh MIC.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh pilihan raya kecil ini di Putrajaya, pagi ini.

Selain MIC, kerusi Hulu Selangor pernah ditandingi wakil MCA.

BN menganggap Hulu Selangor sebagai kubu kuat mereka dan tidak pernah tewas dalam mana-mana pilihan raya umum di kawasan tersebut.

“Saya rasa bukan Palanivel,” kata seorang pemilik kedai gunting rambut, A. Rao ketika ditemui di kawasan Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

Palanivel merupakan Ahli Parlimen Hulu Selangor sejak 1990 tetapi tewas pada Mac 2008 dengan perbezaan tipis 198 undi kepada Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, wakil Parti Keadilan Rakyat.

Pada pilihan raya umum 2004 beliau merupakan antara wakil rakyat mendapat undi terbanyak di Selangor.

Malangnya BN memenangi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri tetapi tewas di peringkat Parlimen.

Pandangan Rao itu menunjukkan dia sebahagian daripada pengundi tempatan mengharapkan muka baru atas alasan bekas wakil rakyat itu jarang dilihat di kawasannya.

Kata Rao, kebanyakan pelanggannya sama ada pengundi India, Cina atau Melayu merupakan penyokong BN.

Sentimen beliau turut dikongsi oleh seorang lagi pemilih dari Kuala Kubu Bharu, M.K. Sekaran yang terlibat dalam perkhidmatan restoran.

Premisnya tidak jauh dari pusat perkhidmatan Palanivel tetapi pandangannya agak memeranjatkan walaupun timbalan presiden MIC itu terus-menerus turun kawasan meskipun tewas 8 Mac.

Ahli MIC itu telah mengundi di kawasan Hulu Selangor sejak tahun 1964 tetapi melahirkan kekecewaan dengan kepimpinan Palanivel.

Kekecewaan beliau lebih bersifat parti berbanding dengan masalah peringkat BN.

Sementara itu, seorang lagi pengundi S. Shanmugam bersetuju dengan pandangan kedua-dua pemilih tadi.

Katanya, dia bukan sahaja kecewa dengan Palanivel, malah dengan prestasi BN pada keseluruhannya.

“Saya telah mengundi dalam lima pilihan raya umum termasuk yang terakhir dua tahun lalu tetapi saya mendapati Pakatan Rakyat ada membawa lebih banyak perubahan dalam dua tahun lalu,” kata Shanmugam yang membayangkan dia sebenarnya merupakan penyokong “tegar” BN.

Tidak jauh dari tempat dia ditemui The Malaysian Insider Umno telah mengadakan program Juara Rakyat awal Januari lalu.

Pengundi ini berkata dia di antara beribu-ribu yang hadir untuk mendengar ucapan Najib selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri.

“Saya hadir dan dengar apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri,” katanya yang tinggal di Taman Bukit Terajai dengan mengharapkan wakil rakyat akan melakukan yang terbaik untuk rakyat.

“Sehingga awal 1990, wakil rakyat kawasan ini buat yang terbaik tetapi selepas itu tidak,” katanya.

Sehubungan itu, pesara dari Bukit Beruntung ini juga merasakan PR mempunyai peluang untuk mengekalkan kerusi Parlimen itu.

Bagaimanapun menurut Norlina Mohd Noor, kegagalan Palanivel kepada Zainal dua tahun lalu merupakan sesuatu yang tidak disangka sama sekali.

Tiada ulasan: