Ahad, 9 Mei 2010

2 kekanda Sultan Kelantan pertahan tindakan Pemangku Raja

Tengku Datuk Rozan (kiri) bersama Tengku Salwani pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR, 9 Mei — Dua kekanda Sultan Kelantan dalam kenyataan terbuka yang pertama, mempertahankan tindakan Pemangku Raja Kelantan menghantar baginda ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk rawatan susulan sejak Selasa lalu.

Tengku Datuk Rozan Sultan Yahya Petra dan Tengku Datuk Salwani, yang muncul pada sidang media sehari sebelum Mahkamah Khas bakal mendengar permohonan habeas corpus difailkan Tengku Temonggong, juga mahu krisis Istana Kelantan diselesaikan dalam semangat kekeluargaan.

Tengku Rozan dan Tengku Salwani masing-masing merupakan kekanda kedua dan ketiga Sultan Kelantan.

“Saya dan adinda saya Tengku Salwani merasa amat sedih dan duka cita di atas musibah yang menimpa keluarga diraja Kelantan khususnya yang menimpa adinda saya Tuanku Al-Sultan Kelantan.

“Bagi saya penyakit yang menimpa baginda Al-Sultan tidak patut berlaku pada seorang Sultan.

“Saya yakin ada sesuatu yang tidak kena pada peringkat awal sebelum baginda jatuh gering. Ada orang yang cuai dalam menjaga hal ehwal kesihatan baginda,” kata Tengku Rozan pada sidang media yang diadakan di Rumah Kelantan di sini tengah hari ini.

Kenyataan kedua-dua mereka juga mempertikaikan peranan Raja Perempuan Kelantan khususnya dalam isu rawatan kepada Sultan Kelantan.

Kali terakhir kedua-dua mereka menziarahi Sultan Kelantan di HUSM adalah pada 3 Mei lalu.

Tengku Rozan mendakwa kekanda sulong Sultan Kelantan, Tengku Merjan dan Raja Perempuan Kelantan sentiasa dalam wad dan mengawal setiap orang yang keluar masuk HUSM.

“Mereka bertindak menyekat orang lain dari melawat Tuanku Sultan.

“Keadaan ini berlaku sejak Tuanku Sultan dirawat di Singapura dan HUSM. Saya dan adinda saya Tengku Salwani tidak dibenarkan melawat Tuanku Sultan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura walaupun kami berada di Singapura.

“Selama sembilan bulan kami tidak dibenarkan melawat baginda Sultan walaupun telah beberapa kali kami berusaha untuk melawat tapi dihalang,” katanya.

Selain itu kata Tengku Rozan, panel doktor dan jemaah ulama telah beberapa kali cuba untuk melawat baginda tetapi dihalang.

“Percubaan lawatan mereka tetap dihalang walaupun permohonan rasmi telah dibuat.

“Insiden halangan yang terakhir di Singapura adalah pada 3 Mac 2010.

“Persoalannya mengapa panel doktor dan jemaah alim ulama ini dihalang dari melawat baginda Sultan?” kata beliau sambil bertanya, sama ada ada pihak yang cuba melindungi kesihatan Sultan Kelantan.

“Walhal pada masa yang sama ada pihak yang mendedahkan keadaan Tuanku Sultan sehingag mengelirukan orang ramai,” kata Tengku Rozan yang merujuk kepada sambutan Majlis Mesra Bersama Anak Yatim di Kota Baru, bulan lalu.

Tengku Rozan mendakwa beliau juga ada menerima maklumat tentang penggunaan khidmat bomoh untuk merawat Sultan Kelantan dan ada ditemui barang-barang yang diragui dari segi hukumnya yang mungkin membawa “kita terpesong dari akidah Islam.”

Sambil menerima nasihat Perdana Menteri agar krisis istana diselesaikan secara kekeluargaan dan semangat anak-beranak, Tengku Rozan berkata, “janglah kita buka pekung di dada sebagaimana selama ini dibuat oleh sesetengah pihak yang sering saja bertindak tanpa berfikir kesan dan akibat daripada perbuatan beliau.”

Dalam kenyataan memperlihatkan sokongan kepada Pemangku Raja, Tengku Rozan juga berkata, beliau cukup kagum dengan tindakan baginda untuk mendiamkan diri menangani isu kesihatan Sultan Kelantan supaya tidak mengaibkan Tengku Temenggong.

“Saya juga berharap agar kita dapat memberi kepercayaan kepada Pemangku Raja Kelantan yang melaksanakan apa yang terbaik untuk keluarga diraja Kelantan.

“Terimalah hakikat bahawa semua ini adalah takdir Allah s.w.t. dan terimalah qada dan qadar-Nya,” katanya.

Sambil mendakwa rakyat sudah kenal perangai Raja Perempuan Kelantan, Tengku Temenggong dan kerabat-kerabat yang lain, Tengku Rozan mengajak semua kembali kepada kehendak agama Islam dan fasal-fasal dalam perlembagaan.

“Marilah kita kembali bersatu di bawah Pemangku Raja Kelantan yang berusaha untuk menyelamatkan keluarga diraja Kelantan dengan bimbingan dan panduan oleh alim ulama dan pemimpin-pemimpin negara kita berlandaskan hukum-hakam dan undang-undang yang diterima pakai,: katanya lagi
Dalam pada itu, Tengku Salwani juga mendakwa apa yang berlaku dalam keluarga diraja Kelantan adalah kerana ada pihak yang tidak mahu menerima hakikat dan takdir.

Oleh itu kata Tengku Salwani, “berilah kepercayaan kepada Pemangku Raja yang mempunyai kuasa di bawah undang-undang pada waktu ini.”

“Pemangku Raja Kelantan bertindak matang dengan merujuk sesuatu perkara kepada pakar dalam bidang yang berkaitan dan dilaksanakan dengan berhati-hati,” katanya.

Sultan Ismail Petra yang merupakan satu-satunya putera Almarhum Sultan Yahya Petra, mempunyai empat orang kekanda iaitu Tengku Merjan yang sulong, Tengku Rozan, Tengku Salwani dan Tengku Rohani.


1 ulasan:

merbok berkata...

“Bagi saya penyakit yang menimpa baginda Al-Sultan tidak patut berlaku pada seorang Sultan.

wei! hehehe agak-agak laa bagi statement.. ingat la qada' dan qadar

apa laa kaum kerabat ni.. lupa kot! hampa tu pun manusia jugak hehehe