Khamis, 23 September 2010

SPR JANGAN CARI PASAL....

KUALA LUMPUR, 23 Sept — Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan menyifatkan langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan pembetulan lokaliti mengundi dan disusuli dengan pemindahan pengundi terbabit sebagai proses yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

SPR melaksanakan proses ini secara meluas ekoran penggunaan sistem maklumat geografi elektronik (EGIS) sejak 2004 di seluruh negara iaitu dua tahun selepas urusan persempadanan bahagian pilihan raya terakhir dilaksanakan.

Proses itu membawa kepada pertambahan kerusi Parlimen kepada 222.

Menurut SPR, ia menjalankan proses ini selaras dengan peruntukan Subseksyen 7(2) dan 7(4) Akta Pilihan Raya 1958 dan Subseksyen 25(3) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Ambiga berpendapat bahawa walaupun SPR mengesan kewujudan kesilapan dalam sempadan bahagian pilihan raya sama ada DUN ataupun Parlimen, ia tidak harus mengganggu sempadan sedia ada.

“Walaupun SPR mengesan ada kesilapan lokaliti mengundi, SPR tidak boleh melakukan pembetulan sehingga urusan persempadanan baru dilakukan iaitu dalam keadaan semasa (dijangka) akan dijalankan selepas Mac 2011,” kata Ambiga ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ambiga berkata jika proses itu dilaksanakan, ia boleh dianggap sebagai satu urusan persempadanan ‘kecil’ antara proses persempadanan terdahulu dan yang akan datang.

Beliau dikemukakan persoalan mengenai proses ini ekoran dakwaan beberapa pihak dalam blog dab ruangan Twitter baru-baru ini bahawa tindakan SPR itu tidak sah kerana seolah-olah SPR mengadakan urusan persempadanan ‘mini’.

Perkara itu turut diakui oleh Naib Pengerusi DAP M. Kulasegaran yang menyifatkannya sebagai “urusan persempadanan semula kecil”, yang tidak sewajarnya dilakukan.

Ahli Parlimen Ipoh Barat ini juga mengakui pernah mengalami tindakan seumpama di bahagian Parlimen Ipoh Barat tiga tahun lalu melibatkan pemindahan kira-kira 2,000 pengundi.

Pembetulan lokaliti mengundi membabitkan pengundi-pengundi itu dipindahkan dari Ipoh Barat ke kawasan Parlimen Batu Gajah.

Kedua-duanya terletak di Perak.

SPR yang masih dalam proses pelaksanaan belum dapat memberikan jumlah sebenar kawasan yang terlibat di seluruh negara.

Wakil rakyat itu mengesyaki ada yang tidak kena dengan proses sedemikian.

“Seolah-olah ada kerja muslihat di pihak SPR untuk memindahkan pengundi dari satu kawasan ke kawasan atas nama pembentulan lokaliti,” katanya lagi.

Pada pilihan raya umum 2004 Kulasegaran menang dengan majoriti 598 undi tetapi empat tahun kemudian majoritinya meningkat kepada lebih 15,000 undi.

Keseluruhannya menurut beliau, pihaknya menganggarkan ia melibatkan kira-kira 200,000 pengundi di seluruh negara.

“Kami anggarkan sekitar 200,000 pengundi terlibat dalam proses ini, tetapi kami masih mengadakan penelitian mendalam untuk mendapatkan angka sebenar pengundi dan bahagian Parlimen yang terlibat,” katanya.

Ambiga yang juga bekas Presiden Majlis Peguam berkata, langkah memindahkan lokaliti, yang menjadi tumpuan ketika pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor April lalu, sebenarnya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Pada pandangan saya ia satu proses yang bercanggah dengan Perlembagaan di mana SPR tidak boleh membetulkan sempadan pilihan raya dan memindahkan pengundi tanpa pengetahuan mereka,” kata beliau.

Ambiga menambah, isu ini merupakan salah satu perkara yang dibangkitkan dalam memorandum yang dikemukakan kepada SPR Julai lalu.

Pertemuan SPR dan Bersih 2.0 telah dijadual untuk diadakan pada 27 Ogos lalu tetapi suruhanjaya tersebut memaklumkan NGO itu bahawa ia ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian selepas Aidilfitri.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberitahu The Malaysian Insider pihaknya akan menemui Bersih 2.0 selepas sambutan Aidilfitri.

Ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April lalu Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh mempertikaikan ketelusan perjalanan pilihan raya kecil itu ekoran dakwaan Pakatan Rakyat bahawa tindakan SPR telah memindahkan 228 pengundi dari Kampung Tanjung di DUN Batang Kali dalam bahagian Hulu Selangor ke kerusi Parlimen jiran — Selayang.

Fuziah mendakwa ia sebagai satu tindakan tidak sah, memindahkan pengundi dari satu bahagian ke bahagian lain.

Bagaimanapun dalam reaksi ketika itu, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata tindakan itu tidak salah dari segi undang-undang.

“Proses ini sudah dijalankan sejak selepas pilihan raya umum 2004. Jadi kami mendapati ada kawasan yang termasuk dalam bahagian pilihan raya yang lain tetapi hakikat pengundi kena mengundi di tempat lain.

“Jadi SPR sedang mengambil tindakan membetulkan lokaliti tempatan mengundi dengan memindahkan pengundi kawasan terbabit ke bahagian-bahagian lain... salah satu bahagian terbabit ialah Hulu Selangor dan Selayang,” katanya.

Kata beliau pada masa lalu proses menentukan sempadan dibuat secara manual tetapi SPR menggunakan EGIS sejak 2004.

Dalam kes terbaru, SPR membuat pembetulan lokaliti mengundi Lapangan Terbang di kawasan Parlimen Bukit Bintang ke bahagian Parlimen Cheras membabitkan kira-kira 150 pengundi.

Kedua-dua bahagian itu terletak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya DAP Tan Kok Wai berkata SPR memaklumkan pihaknya bahawa pembetulan lokaliti mengundi Lapangan Terbang di kawasan Parlimen Bukit Bintang dilakukan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Saya dan Ahli Parlimen Bukit Bintang (Fong Kui Lun juga dari DAP) tidak kisah proses ini dilakukan kerana kami menganggap ia dilakukan dengan alasan yang tulen ekoran perbezaan alamat tempat tinggal bagi penduduk yang tinggal di PPRT Lapangan Terbang,” katanya.

Walaupun tinggal di pangsapuri yang sama ada pengundi yang menggunakan alamat membolehkan mereka mengundi di kawasan Bukit Bintang manakala sesetengah pula di kawasan Cheras sedangkan kesemua mereka wajar diwakili oleh kerusi Parlimen Cheras.

“Keputusan ini kami terima. Tetapi apa yang kami hendak menekankan di sini ialah SPR sewajarnya melakukan dengan terbuka dan telus... memberikan peluang kepada pengundi berkenaan membantah atau sebaliknya apabila mereka dipindahkan,” katanya.

Misalnya kata beliau, pengundi-pengundi terbabit sewajarnya diberikan peluang untuk mendengar proses pemindahan ke bahagian pilihan raya lain.

Di bawah urusan persempadanan semula bahagian pilihan raya terdapat sesi pameran, tuntutan dan bantahan serta siasatan awam jika ada bantahan.

Ahli Parlimen Cheras itu menambah, pembetulan lokaliti mengundi juga melibatkan bahagian Parlimen Lembah Pantai dan Seputeh.

“Sebahagian penempatan apartmen dari kawasan Kampung Muhibah di kerusi Parlimen Lembah Pantai telah dipindahkan ke bahagian Seputeh. Di sini, yang dipindahkan cuma pengundi sebuah apartmen, bukannya keseluruhan Kampung Muhibah,” kata beliau yang menimbulkan kemusykilan dengan kaedah itu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar juga mengakui beliau tidak menyedari perkembangan tersebut.

“Sekurang-kurangnya kami sebagai wakil rakyat harus dimaklumkan secara bertulis,” kata beliau. SUMBER

1 ulasan:

Dewan Pemuda PAS Gopeng berkata...

masalahnya bile SPR buka untuk bantahan xde pun sape buat bantahan. tanye kat JPN negeri berapa banyak bantahan PAS hantor.