Selasa, 24 Mei 2011

TUAN IBRAHIM SAH TANDING

PETALING JAYA: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada Selasa mengesahkan beliau akan bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti Jun ini.

Biarpun sebelum ini beliau pernah menegaskan tidak berminat untuk bertanding jawatan nombor dua parti, Tuan Ibrahim dikatakan membuat pusingan 'u' apabila menerima tekanan yang kuat daripada ahli PAS di peringkat kawasan yang mencalonkannya.

Difahamkan beliau menerima 39 pencalonan untuk Timbalan Presiden dan 97 pencalonan untuk Naib Presiden.

Dengan keputusan tersebut, jawatan Timbalan Presiden bakal menyaksikan pertarungan tiga penjuru kerana penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa dan Ahli Jawatankuasa PAS pusat, Mohamad Sabu telah menyatakan pendirian masing-masing.

"Setelah memikirkan secara mendalam, saya akur dan menerima pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden PAS dengan hati yang terbuka dan pada masa yang sama saya menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan.

"Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kawasan yang telah mencalonkan saya. Dengan rendah diri saya sedar saya bukanlah calon terbaik berbanding calon-calon lain, yang jauh lebih layak dari saya," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Beliau menang jawatan naib presiden dalam percubaan kali pertama dua tahun lalu bersama Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menegaskan, beliau sebenarnya tidak berniat untuk bertanding jawatan itu namun ekoran pencalonan yang memberangsangkan daripada kawasan-kawasan beliau terpaksa memikirkan semula hasrat itu.

"Walaupun saya telah berkali-kali menyatakan hasrat bahawa saya lebih berminat untuk diberi peluang bagi meneruskan kerja saya dalam parti sebagai Naib Presiden, sekiranya ada pencalonan yang mencukupi, namun kawasan-kawasan terus juga mencalonkan saya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dengan jumlah pencalonan yang agak besar.

"Saya tidak bercadang untuk menyatakan jumlah pencalonan yang saya terima, namun ia suatu jumlah yang memerlukan saya untuk memikirkannya semula hasrat saya sebelum ini secara mendalam sebelum membuat sesuatu keputusan," katanya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata sebagai pekerja parti beliau melihat pencalonan yang diterima sebagai kehendak sebahagian daripada ahli parti di peringkat akar umbi yang perlu dipertimbangkan, dihormati dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

"Sebagai sebuah parti besar dengan kekuatan tarbiyah dan kefahaman mendalam terhadap tanggungjawab yang diamanahkan.

"Saya penuh keyakinan dan berdoa bahawa pemilihan ini akan berjalan dengan nilai ukhuwah yang sangat tinggi selaras dengan kedudukan PAS sebagai sebuah gerakan Islam," katanya.

Selain Nasharuddin, Mohamad Sabu dan Tuan Ibrahim, turut dicalonkan untuk jawatan itu adalah Datuk Seri Azizan Razak, Datuk Husam Musa dan Salahudin Ayub.

Sehingga kini, hanya Nasharuddin dan Mohamad Sabu mengesahkan untuk menyertai pertandingan jawatan Timbalan Presiden manakala Salahudin membayangkan akan hanya mempertahankan jawatannya sekarang iaitu naib presiden.

Kesemua calon-calon untuk jawatan tertinggi PAS mesti mengesahkan kesediaan mereka untuk bertanding sebelum 26 Mei ini.

Jawatankuasa Pemilihan PAS dijangka akan mengumumkan calon-calon yang layak bertanding pada 27 Mei ini.


SUMBER

Tiada ulasan: