Sabtu, 17 November 2012

SEGERA BERTINDAK...

Ketika mengakhiri ucapan Dasar semalam Tg Presiden meninggalkan arahan yang mesti dipatuhi oleh ahli. Sebagai ahli yang berbaiah dengan Jamaah PAS , maka arahan ini menjadi kewajipan bersama. Ketika membentangkan ucapan dasar tesebut juga Tg Presiden mengingatkan ahli PAS agar jangan tersilau dengan tahaluf siyasi hingga mengalihkan ketaatan kepada parti lain. Tahaluf adalah pendekatan PAS namun ketaatan mesti diserahkan kepada jamaah... Buktikan ketaatan kita dengan melaksanakan tujuh arahan presiden...;
Tujuh arahan tersebut ialah:

1. Mengarahkan semua petugas, ahli dan pimpinan PAS untuk sentiasa menggenggam matlamat perjuangan untuk Islam, memurnikan fikrah perjuangan, tidak leka, tidak melaksanakan perkara yang merugikan perjuangan, seterusnya tidak mencelarukan fikrah dengan urusan yang tidak penting.

2. Mengarahkan agar semua jentera parti : dewan - dewan, lajnah, negeri untuk menumpukan perhatian kepada kerja pilihanraya, dengan ikrar untuk mempertahankan negeri yang ditadbir menerusi muafakat Pakatan Rakyat, dan seterusnya melebarkan ke negeri lain, hinggalah ke pemerintahan Pusat.

3. Menyeru kepada semua Kerajaan negeri di bawah PAS bersama Pakatan Rakyat - menggunakan masa yang tinggal ini untuk menyelesaikan urusan rakyat, teruskan kerja kebajikan; tanpa meninggalkan gerakerja parti hingga ke peringkat bawah dalam masyarakat.

4. Mengarahkan kepada semua pihak dalam parti, supaya berada di tahap bersiap-siaga yang paling tinggi untuk menghadapi Pilihanraya umum ke-13 – di mana kita akan berdepan dengan mainan nakal serta provokasi media dan BN yang terus menerus melaga-lagakan pimpinan PAS ke tahap yang tidak dapat kita bayangkan, akan terus memporak-perandakan PAS dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat sebagai langkah untuk melemahkan saf dan semangat kita. Jangan mundur, jangan terkeliru. Dengarlah panduan dan kenyataan rasmi yang diberikan oleh pimpinan tertinggi dari masa ke semasa. Semua pihak dalam parti perlulah mengelakkan diri dari melakukan kesilapan yang meremehkan kita di hadapan rakyat.

5. Mengarahkan kepada semua pihak dalam parti supaya melaksanakan tugas pilihanraya masing-masing dengan penuh hikmah, mengajak rakyat untuk berubah - bukan memusuhi rakyat, bertemu, bercakap dan menulislah dengan bahasa yang difahami oleh mereka, semuanya dengan penuh keikhlasan untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

6. Mengarahkan kepada semua saf kepimpinan dan ahli, marilah sama-sama kita mengeratkan ukhuwwah sesama kita, dan terus memperkukuhkan hubungan hablun minallah semua petugas dan ahli PAS sebagai senjata yang akan menguatkan semangat berjuang, tidak mundur, dan memohon pertolongan dari Allah SWT serta bertawakkal kepada Nya. Suasana menghadapi pilihanraya janganlah menjadi penghalang kepada memperbanyakkan amal ibadat, solat, puasa sunat, bermunajat yang akan menjadi benteng dalam perjuangan kita ini kerana kemenangan Islam adalah kurniaan Allah SWT.

7. Marilah pada hari ini, kita sama-sama memahami tema muktamar kali ini, serta menyusun gerakerja dan strateginya nanti dalam semangat tema muktamar NEGARA BERKEBAJIKAN TERAS PERPADUAN.

Tiada ulasan: