Satu perkara yang mendukacitakan berlaku di tengah-tengah masyarakat Islam mutakhir ini ialah hilangnya keyakinan terhadap hukum Allah. Adalah satu perkara yang tidak munasabah dan haram berlaku di kalangan umat Islam bahawa orang-orang yang mengaku Islam, tidak yakin kepada hukum Allah, kerana ia bermakna juga tidak yakin kepada Allah dan tidak yakin kepada Rasulullah s.a.w sebagai pembawa dasar perundangan Ilahi.
Tidak terkumpul di dalam hati orang yang beriman dengan keraguan dan syak terhadap ajaran Islam kerana kesangsian kepada ajaran Islam dan tidak yakin kepada hukum itu adalah perkara yang boleh merosakkan dan membatalkan iman. Firman Allah dalam ayat 65 surah an-Nisa':
فَلاَ وَرَبِّكَ لاَ يُؤْمِنُونَ
حَتَّىَ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لاَ يَجِدُواْ فِي
أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُواْ تَسْلِيمًا
"Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman
sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan
yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati
mereka sesuatu keberatan daripada apa yang telah engkau hukumkan, dan
mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya."Di tengah-tengah masyarakat Islam hari ini terkeluar kata-kata dan tulisan-tulisan yang berani mencabar hukum Allah, ada yang berani mengatakan hukum Allah itu sudah lapuk, hukum "hudud" yang ada dalam al-Quran itu tidak lebih daripada hukum yang diamalkan oleh kabilah-kabilah Arab pada zaman dahulu yang dipanjangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Mereka tidak menyedari bahawa kedatangan Rasulullah s.a.w ialah untuk menentang hukum-hukum kabilah yang zalim, mengapa mereka mengatakan al-Quran itu ajaran yang diamalkan oleh kabilah-kabilah Arab? Ini adalah satu tuduhan jahat terhadap al-Quran al-Karim dan hukum Islam.
Dan apa yang mendukacitakan, umat Islam yang begitu ramai di dalam negara ini tidak terasa apa-apa orang menghina Islam dan mengejek hukum Islam di hadapan mereka. Di manakah kasih mereka terhadap Islam sehingga tidak ada perasaan cemburu sedikitpun di dalam hati mereka terhadap Allah?
Mereka akan melenting sekiranya harta dan kepunyaan mereka daripada harta benda dunia diganggu-gugat, tetapi mereka tidak melenting sekiranya agama mereka diberikan kedudukan yang tidak selayaknya. Beginilah rendahnya maruah umat Islam hari ini.
Di manakah letaknya kemanisan iman yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Tiga perkara yang sesiapa ada padanya, maka dia mempunyai kemanisan iman. Pertama bahawa Allah dan Rasul-Nya terlebih kasih kepadanya daripada yang lain. Kedua dia tidak kasih kepada seseorang melainkan kerana Allah. Ketiga dia benci kalau dicampak di dalam kekufuran sebagaimana dia benci kalau dicampak ke dalam api neraka."
Di mana kemanisan iman? Di mana ketiga-tiga perkara ini di dalam hati umat Islam hari ini? Adakah di dalam hati mereka perasaan kasih kepada Allah dan kasih kepada Rasulullah s.a.w? Sekiranya mereka kasih kepada Allah dan cinta Rasulullah, sudah tentu mereka kasih kepada hukum Allah dan kasih kepada ajaran yang ditinggalkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.
Ke manakah perginya kasih mereka kerana Allah? Di mana perginya cinta Rasul? Kasih mereka tidak lain kerana kemahsyuran dan penghormatan dunia semata-mata. Ke manakah perginya benci mereka kepada kekufuran? Bahkan mereka berlumba-lumba untuk menuju kepada kekufuran sekiranya kekufuran itu mengenyangkan mereka dan menambahkan keseronokan di dalam hidup mereka.
Adakah mereka tidak sedar dalam perkara seperti ini, Allah telah mewajibkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan kepada umat Islam supaya menegakkan hukum Allah di atas muka bumi ini.
Allah berfirman menerusi ayat 105 daripada surah an-Nisa' :
إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ
الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ
وَلاَ تَكُن لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا
"Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab
(al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara
manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui
wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang
khianat."Manusia hari ini terlalu suka menjadi penolong dan penyokong kepada orang-orang yang khianat kepada hukum Allah. Di manakah kasih mereka kepada Allah dan kepada Rasulullah s.a.w?
Dan Allah menamakan hukum yang lain selain daripada hukum-Nya adalah jahiliyah sebagaimana yang disebut dalam ayat 50 surah al-Maidah :
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ
"Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum
jahiliyah? padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada
sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah."Orang-orang yang yakin ialah orang-orang yang yakin kepada Allah dan Rasulullah s.a.w, iaitu yakin kepada Islam mestilah yakin juga kepada hukum Allah dan tidak yakin kepada yang lain daripada hukum Islam.
Allah juga menamakan hukum yang lain daripada Islam sebagai jahiliyah atau hukum yang menurut hawa nafsu. Dan yakin kepada hukum yang lain bermakna tidak yakin kepada Allah.
Allah menjanjikan kelebihan, kurniaan, pahala dan syurga serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat kepada siapa yang beriman dan beramal salih. Di antaranya mereka yang menegakkan hukum Allah.
Sementara syaitan pula menjanjikan kemiskinan, kepapaan, kesusahan dan kemunduran kepada siapa yang beramal dengan hukum Allah. Yang mana kamu lebih percaya? Kamu percaya kepada janji Allah atau kepada janji syaitan?
Tepuklah dada kamu dan tanyalah iman yang ada di dalam hati kamu itu. Sekiranya kamu bertanya iman yang sebenar, sudah tentu iman yang sebenar akan menerima hukum Allah.
SUMBER
Tiada ulasan:
Catat Ulasan