KUALA LUMPUR: Pemandu teksi di Lembah Klang mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menarik balik kenyataannya baru-baru ini yang menyamakan perkhidmatan teksi dengan tandas.
Pengerusi Persatuan Pemilik Teksi Eksekutif Malaysia Azmi Md Yatin berkata walaupun Mohamed Nazri berkata hanya segelintir sahaja yang bersikap negatif seperti mengenakan kadar tambang tinggi dan enggan menghantar penumpang ke tempat jauh tetapi menyamakan pemandu teksi dengan tandas adalah satu penghinaan.
Dalam laporan sebuah akhbar pada 9 Disember lepas Nazri berkata kajian ke atas pelancong mendedahkan bahawa perkara pertama yang pelancong tidak suka ialah teksi manakala tandas jatuh di tempat kedua namun Nazri menganggap bahawa perkhidmatan teksi adalah lebih teruk dari tandas.
"Kenyataan Nazri ini sangat melampau dan kami (pemandu teksi) dari Lembah Klang sebulat suara bersetuju agar Nazri memohon maaf secara terbuka untuk membersihkan imej semua pemandu teksi di Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan itu kepada Setiausaha kerja Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Kamarudin Hassan di pejabat Umno Cawangan Jalan Peel di sini hari ini. Kamarudin mewakili Ketua Umno Bahagian Cheras Senator Datuk Wira Syed Ali AlHabshee.
Kamarudin berkata memorandum tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan