Saya terbaca cerita ini dari Pak Sayuti Omar. Saya rasa amat sesuai untuk dikongsi bersama kerana sekarang ini isu Felda mengegarkan negara. Mazlan yang cabar Maslan telah pun bersambut. Suara Keadilan yang buka cerita telah pun disita... sedikit cerita Pak MSO ni mungkin boleh direnungi
...............
Disebut dalam SMS itu Ahmad Maslan akan mengumumkan mengenai hasrat Felda nak saman
lidah rasmi parti PKR, Suara Keadilan ekoran akhbar berkenaan menuduh Felda bankrup. Berita mengenai pengumuman Ahmad itu telah pun keluar di beberapa portal dan blog, di mana menurut Ahmad, Felda saman Suara Keadilan dan menuntut bayaran ganti rugi sebanyak RM200 juta. Wau banyak tu...
Mungkin bagi peneroka di Hulu Terengganu ataupun Hulu Pahang, atau Serting Negeri Sembilan merasa gembira mendengar kenyataan Ahmad Maslan itu. Betapa tidak dalam kepala mereka Felda secara atas angin akan menambahkan asetnya sebanyak RM200 juta. Sedikit sebanyak mungkin mereka mengira, wang itu nanti akan menimbus rizab tunai Felda yang dikatakan susut itu?
Biasalah bila lama tak jumpa panjanglah sembang dengan kawan lama tadi. Sebenarnya perkara utama yang hendak dibincangkan tidak sampai pun 10 minit. Tetapi kerana perbualan lain-lain topik dan sub topik memakan masa lebih tiga jam.
Kawan ini seorang ahli perniagaan yang aktif hingga ke peringkat antarabangsa. Dia juga sebagai seorang pemerhati politik. Dia berkawan dengan semua orang, khasnya tokoh-tokoh Umno termasuk beberapa menteri. Jadi banyaklah kepincangan dan penyelewengan yang diketahuinya yang sesetengahnya tidak sampai hati nak disebutkan.
Dari hal mengenai kedudukan kewangan negara yang semakin susut dan menipis sampailah kepada perkara-perkara yang jelek untuk diceritakan. Menurut kawan ini disebabkan berleluasanya rasuah, penyalahgunakan kuasa, menyebabkan negara boleh bankrup. Nasib malang negara ini bukan kerana gimik atau sengaja nak menakut-nakutkan rakyat membolehkan kerajaan mengurangkan subsidi, tetapi menurutnya memang ia satu yang akan menjadi realiti. Malahan dari nada cakapnya dia optimis negara ini akan bankrup.
Beliau lantas memberi contoh dengan apa yang berlaku dalam Felda yang menjadi isu hangat hari ini. Beliau yang juga bekas pegawai Felda tahu benar mengenai salah urus dan tadbir dalam Felda menyebabkan berlaku penyusutan rezeb tunai Felda. "Apa yang dibangkitkan oleh Suara Keadilan itu benar, duit Felda sudah habis," ujarnya.
Kawan itu memberi satu dua contoh bagaimana dua projek Felda yang tidak menguntungkan tetapi dijalankan juga kerana untuk membantu kroni. Satu katanya pembinaan hotel di Bangi di mana bagi kepentingan Felda pembinaan ini langsung tidak ada apa-apa keuntungan. Untuk apa Felda membina hotel, soal beliau marah.
Tetapi katanya kerana atas permintaan Pengerusi Felda, Yusuf Noor kerana inginkan bangunan tertinggi di Bangi berdekatan kediamannya maka pembinaan itu diluluskan. "Untuk apa hotel berkenaan. Pada saya lebih baik ia dibina sekolah Tahfiz Agama untuk anak-anak peneroka," katanya.
Satu lagi projek yang menghabiskan wang institusi itu ialah pembelian ladang lembu di Australia bernilai RM600 juta. Peneroka mungkin seronok bila dibertahu Felda menceburi perniagaan di peringkat antarabangsa. Tetapi mereka tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.
Mengenai projek ladang lembu ini katanya apa membingungkan Felda telah mengeluarkan wang sebanyak RM600 juta, tetapi saham pemilikkan ladan itu bagi Felda hanya 19 persen sahaja. Ini perniagaan bodoh katanya. Ke mana perginya 81 persen lagi walahualam. Katanya dia memilik dokumen berhubung permbelian ladang berkenaan.
Tamat cerita Felda yang katanya masih banyak yang belum dibongkar, timbul pula cerita bagaiaman seorang menteri yang dipercayai amanah, mempunyai integriti tetapi ikut sama terpalut dalam penyelewengan dan penyalah gunaan kuasa.
Apa yang diceritakan ini dialami sendiri kawan ini. Beliau telah menghantar satu proposal kepada menteri berkenaan untuk memajukan aset milik agensi dibawah pengawasannya. Menteri sebelum ini sudah pun mencadangkan supaya aset berkenaan dibangunkan dan proposal beliau itu diterima. Secara prinsipnya projek itu sudahpun dipersetujui. Kerana berlaku pertukaran jawatan maka ia perlu dirujukkan kepada menteri berkenaan.
Malangnya bila ia dirujuk projek itu dibatalkan. Minit keluluasan asal telah diserahkan kepada menteri itu. Alasannya kerana mesyuarat pembangunan kementerian itu sebelum ini tidak meluluskan projek berkenaan. Ini berdasarkan kepada minit katanya.
Para pegawai dalam satu mesyuarat dengan menteri berkenaan membangkitkan isu projek berkenaan. Mereka menunjukkan yang minit asal diluluskan. Menteri berkenaan katanya terkial-kial untuk menjawabnya dan mencari helah mudah dengan mengatakan setiausaha salah mencatat minit. Namun apabila setiausaha dipanggil barulah terdedah cerita sebenarnya, menteri berkenaan mengarahkan setiausaha mengubah minit berkenaan. Paling menyedihkan lagi katanya menteri itu sudah menerima prosal dari kroninya.
Itu satu kejadian. Ada satu lagi kejadian melibatkan nilai tander satu projek di Kuala Lumpur. Satu kontraktor telah membuat tawaran dengan nilai RM72 juta. Tawaran itu telah diterima. Tetapi apabila sampai ke peringkat menandatangani kontrak berkenaan angka berkenaan didapati berubah menjadi RM92 juta. Kontraktor berkenaan terkejut melihatnya kerana harganya di make-up sebanyak RM20 juta.
Kerana menyedari kekeliruan itu, kontraktor berkenaan bertanyakan kepada menteri berkenaan. Apa jawabnya, menteri berkenana suruh saja tanda tangani, dan memberi tahun RM20 juta adalah atas urusan.
Menyedari bahawa apa yang berlaku itu satu penyelewengan kontraktor berkenaan akhirnya menarik diri kerana tidak mahu terlibat dengan rasuah.
Segala apa yang dicerita kawan itu menggambarkan akan kebobrokan orang berkuasa di negara ini termasuk menteri. Dan paling mengejutkan ia bukan saja berlaku di kalangan menteri yang dikenali tidak berlatar belakangkan pendidikan agama yang mampan tetapi di kalangan mereka yang dianggap sebagai ustaz dan diberi tanggungjawab menjaga harta anak-anak yatim juga. Jadi kata kawan ini di Malaysia ini tidak ada siapa lagi yang boleh diharap dan dipercayai khasnya dalam bidang perdagangan. [wm.kl.12:00 t/malam 02/07/10] SUMBER
Tiada ulasan:
Catat Ulasan