Isnin, 5 Julai 2010

TG NIK AZIZ KATA PAS BERPECAH...


"Sukacita saya merujuk kepada berita disiarkan Bernama Online (3 Julai, 2010) bertajuk
“Nik Aziz Akui Wujud Perpecahan Parti Untuk Berebut Jawatan Pada Muktamar PAS Tahun Depan” dan awal-awal saya tegaskan tajuk dan kandungan beritanya adalah tidak benar dan di luar konteks apa yang saya maksud. Saya dapati keseluruhan laporan itu merupakan tanggapan pihak Bernama sendiri dan bukannya dari maksud sebenar kenyataan saya.

Paling malang lagi, apabila laporan agensi milik kerajaan Barisan Nasional itu telah dijadikan rujukan, malah disiarkan oleh beberapa akhbar. Antaranya akhbar online Malaysian Insider, dan akhbar cetak seperti Berita Minggu, Sinar Harian dan Sunday Star.

Namun, akhbar online Malaysiakini turut menyiar kandungan laporan Bernama, tetapi diharmonikan dengan tajuknya sendiri, iaitu “Nik Aziz cadang tiada pemilihan dalam muktamar.” Itupun masih tidak tepat, kerana pemilihan dibenarkan di dalam perlembagaan PAS. Sedangkan, pada sidang media tersebut, saya telah merujuk kepada asas perlembagaan PAS yang perlu dipatuhi demi mengelak apa-apa perbalahan, mahupun perpecahan.

Apa pun, saya mengucap terima kasih atas laporan media yang berimbang. Antaranya akhbar New Sunday Times tidak memetik laporan berita Bernama (yang tidak bersifat berita itu), sebaliknya ia telah menyiarkan berita yang ditulis wartawannya sendiri.

Begitu pula, Sinar Harian didapati memetik laporan Bernama, tetapi turut menyiarkan di ruang Kelantan kenyataan yang dianggap tepat mengenai cadangan saya agar berlaku syura bagi pemilihan dalam PAS. Sementara Mingguan Malaysia tidak memetik laporan Bernama, sebaliknya menyiarkan kenyataan yang agak tepat dengan maksud sebenar saya.

Di sini diperturunkan maksud kenyataan saya ketika menjawab soalan wartawan berhubung kemungkinan berlaku pertandingan dalam pemilihan PAS tahun depan. Antaranya ialah:

"Kalau boleh tidak perlu bertanding, kerana memang tak molek bertanding, tetapi kalau mahu bertanding juga biarlah buat betul-betul, bertandinglah, jangan sampai peringkat perpecahan. Ini luahan hati orang tua, tak mahu tengok perpecahan berlaku.

"Pengalaman saya sendiri yang pernah bertanding dalam dewan ulama’ satu ketika dulu, amat tidak comel. Baik kita cari cara yang lebih comel elak daripada perpecahan.

"Moleknya, kita buat keputusan secara syura dan lantik ketua kita beramai-ramai. Ini cadangan saya. Tetapi saya tidak tahu sejauh mana syura dibenarkan oleh perlembagaan parti.

Semoga penjelasan saya ini, dapat mengelakkan salah faham semua pihak, khususnya rakan-rakan pimpinan dalam PAS. Jangan mudah terpengaruh dengan semua laporan berkenaan, terutama Bernama dan akhbar yang nampaknya ada agenda tersembunyi di sebalik apa yang mereka laporkan. Hanya Allah jua yang Maha Mengetahui. Kepada pihak akhbar cermatlah dan jauhilah daripada memfitnah.

Sekian, wassalam.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Menteri Besar Kelantan.

Tarikh: 21 Rejab 1431/4 Julai 201

Tiada ulasan: