Sabtu, 10 Disember 2011

ISLAM PAS DALAM PR...

Soalan tersebut ialah : Apakah PAS Mampu Tegakkan Islam dalam Pakatan Rakyat ?

1. Saudara , perjuangan PAS bukan lagi berusia setahun jagung. Malah PAS telah berpengalaman luas dalam Kerajaan Campuran di zaman Perikatan. Berpengalaman di zaman Angkatan Perpaduan Ummah juga di zaman Barisan Alternatif dan kini Pakatan Rakyat. Sepanjang tempoh itu, PAS tidak pernah lekang biarpun seketika cuma dari dasar perjuangan yang telah mendarah daging iaitu Islam.

2. Tinggal Islam maka hilanglah identiti PAS dan tersasarlah dari matlamat penubuhannya. PAS ditubuh untuk memperjuangkan Islam. Hakikat ini mesti diinsafi oleh semua. Malah PAS dibangunkan dengan segala sendi yang kukuh dan melalui proses pengkaderan yang berterusan. Aqidah Islam menjadi tunjang perjuangan, Fikrah Islam menjadi dahan perjuangan sementara Syakhsiyah Islam menjadi bunga perjuangan dan Kedaulatan Islam kelak menjadi buah perjuangannya.

3. PAS istiqamah berjuang menegakkan Islam biarpun di mana ia berada. Menyertai Pakatan Rakyat adalah pilihan dan ijtihad PAS yang telah dibincang dan dibahas lumat oleh para pimpinannya yang terdiri dari para alim ulama' termasuklah ianya diluluskan oleh Majlis Syura Ulama' PAS. Segala congakan atau perkiraan politik yang melibatkan untung rugi masa depan perjuangan telah dihitung nilai.

4. Malah Tahaaluf Siasi atau kerjasama politik yang diguna pakai lalu membawa PAS bersama membentuk Pakatan Rakyat adalah sebuah kerjasama politik yang sarat dengan terma dan syarat tersendiri malah menjamin kedudukan serta kesucian perjuangan Islam yang didokong oleh PAS.

5. Biarpun berbeza ideologi perjuangan, ianya tidak menghalang ketiga - tiga parti komponen Pakatan Rakyat mengadakan kerjasama politik berhadapan UMNO dan BN. Ia bukan kerjasama aqidah, tetapi kerjasama politik. Malah ia bukan perkara baru bagi Gerakan Islam mengadakan kerjasama politik dengan non muslim lantaran Bagunda Rasul saw juga pernah terlebih dahulu pernah menganjurkannya.

6. PAS bukan sahaja konsisten malah sangat komited untuk melaksanakan Islam terutama apabila rakyat telah bersedia memberikan mandat kepimpinan kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Insyaallah, Islam tetap terpelihara dan akan terus diperjuangkan atau ditegakkan oleh PAS bersama Pakatan Rakyat.

7. Ada orang bertanya saya, kenapa tidak bersama UMNO ? saya hanya menjawab : Ini pilihan PAS. Pilihan pemimpin dan ahli - ahli PAS malah penyokong PAS. Hati PAS berkenan kepada Pakatan Rakyat sementara UMNO dan BN tidak. Sungguhpun UMNO dan BN menggunakan pelbagai madah, sehingga kini mereka belum mendapat tempat di hati PAS. Kenapa PAS tidak berkenan ? nantilah saya bercerita kemudian dalam artikel yang lebih khusus. Cuma ringkasnya, Bukanlah UMNO tidak cantik, tapi ada yang jauh lebih cantik dari UMNO.

8. PAS tidak larut dan hilang identiti sebaliknya terus membawa suara Islam dengan segala warna hikmah yang ada. Kita akui, peringkat awal dulu kita mengalami beberapa kesulitan untuk mengeratkan jalinan kerjasama antara parti komponen gara - gara terlalu banyak fitnah dan adu domba.

9. Namun kesabaran dan kematangan yang bertolak dari pengalaman yang luas akhirnya perjuangan PAS untuk menegakkan syariat Islam dan akhlaknya semakin diterima. Paling tidak, bersetuju untuk tidak bersetuju. Ianya satu perkembangan positif malah jauh lebih positif berbanding sebelumnya.

10. Saya optimis Islam akan ditegakkan malah boleh dan mampu ditegakkan Insyaallah, justeru Islam adalah agama Allah swt Tuhan yang Maha Sempurna dari segala sifat kekurangan, bukan agama ciptaan manusia yang serba lemah. Selama PAS bersama Islam, PAS akan kuat dan mampu. Selagi Islam diperjuangkan oleh PAS maka PAS senantiasa relevan.

11. Seperkara lagi, ingin saya tegaskan di sini bahawa Islam tidak sekadar hudud sebaliknya hudud adalah sebahagian dari Islam yang wajib dilaksanakan. Masih terdapat banyak perkara yang perlu dilaksanakan. Antara yang menjadi fokus penting juga selain Perlaksanaan Qanun Jenayah Syariah 2, ialah pembentukan sebuah pemerintahan atau pentadbiran yang adil, telus dan berintegriti tinggi. Bebas rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana negara. Ianya menepati Islam yang diperjuangkan.

12. Memperjuangkan perkara - perkara ini sahaja pun sudah tidak menang tangan dalam Pakatan Rakyat yang semakin memaut kerjasama erat antara parti komponen berbanding hanya satu dua perkara yang menjadi asas perbedaan. Semua parti bekerjasama erat untuk membasmi ISA, menentang rasuah, menubuhkan Good Governence, mempertahankan bahasa kebangsaan, menolak AUKU, perjuangkan hak rakyat marhain, perjuangkan hak mahasiswa dan 1001 perkara lagi yang selari dengan kehendak Islam.

13. Bertolak dari nokhtah yang telah saya sebutkan ini juga sudah cukup bahawa PAS berpotensi besar untuk menegakkan Islam bersama Pakatan Rakyat. Membasmi ISA adalah tuntutan Islam yang mesti ditegakkan, menentang rasuah adalah tuntutan Islam yang mesti ditegakkan, membina negara yang telus, adil dan berintegriti adalah tuntutan Islam yang mesti ditegakkan. Agihan kekayaan negara dengan adil dan bijaksana, bebas dari amalan monopoli, juga merupakan tuntutan Islam yang mesti ditegakkan. Kini dakwah PAS berjalan rancak dan semakin pro aktif insyaallah.

Ketua Dewan Pemuda PAS

1 ulasan:

ustaz asri berkata...

tapi hakikatnya PAS xtunjukkan kematangan pun...di mana suara ULAMA PAS..jika ada ahli yang outspoken ahli itu akan dituduh agen UMNO...dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri yang dikuasai PR..suara pemimpin PAS tentang Islam dianggap lemah...isu arak gereja nasib org melayu tanah 999 tahun..adakah PAS matang dgn smua isu ini??jgn kerana hanya gilakan utk berkuasa matlamat perjuangan sebenar dilupakan