Salam Kamunting,
Perang pilihan raya di Manek Urai telah tamat dan PAS berjaya mengekalkan rentak kemenangan yang berterusan dalam siri pilihan raya kecil pasca PRU 12. Kemenangan tipis dengan majoriti hanya 65 undi adalah agak mendebarkan dan mengejutkan. PAS dan UMNO masing – masing terkejut.
Ia adalah kejutan yang boleh berlaku di mana – mana. Para sahabat al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam mengalaminya di medan Uhud dan di medan Hunain. Kejutan itu daripada Allah. Kita menjangkakan kemenangan selesa sehingga petang dan UMNO mengakuinya, tetapi Allah datang di hujung senja dengan kehendakNya. UMNO kalah kerana itulah kesudahan musuh Allah. Kita pula kalah dalam dan dengan strategi kita sendiri. Allah memenangkan agamaNya. Pastinya bukan kita!
Bagi seorang mukmin yang peka dan khusyu’, mengambil ibrah dan pengajaran adalah lebih jitu dan berguna daripada menikmati kemenangan. Kemenangan adalah anugerah dan hadiah, sedang ibrah adalah amanah dan tanggung jawab. Menang di dunia bukan bererti menang di akhirat, sedang mengambil ibrah di dunia pasti beroleh kemenangan di sana.
Uhud mengajar sahabat erti taat dan tidak gelojoh. Hunain mengajar mereka erti berani dan tidak ujub. Itulah yang utama. Daripada ibrah itulah para sahabat membina diri menjadi tentera Allah yang siap siaga memacu perjuangan dan dakwah.
Allah menghendaki kita mengambil ibrah dari Manek Urai melebihi kegelojohan kita untuk menikmati kemenangan darinya.
Saya harap post mortem terhadap keputusan pilihan raya N41 Manek Urai akan menghasilkan jawaban yang tepat demi mengekalkan kita dalam landasan perjuangan.
Faktor rohani hendaklah diutamakan. Itulah makna perjuangan Islam.
Perhatikan persoalan – persoalan berikut:
1) Mengapa begitu mudah pengundi culaan milik kita di Manek Urai menukar undi kepada BN sedangkan Manek Urai adalah kubu kita di selatan sejak dulu? Di mana nilai agama?
2) Mengapa kita bermudah dengan penceramah DAP, tetapi tidak sesama kita? Tidakkah sebelum ini kita mudah dengan DAP dan lebih mudah sesama kita, dan terbukti telah berjaya?
3) Mengapa perselisihan dalaman dihidupkan sepanjang kempen di Manek Urai sehingga media massa dan musuh seronok memainkannya. Itukah kematangan?
4) Kesatuan adalah syarat kemenangan. Adakah kita meraikannya?
5) Mengapa kita gagal membatasi leluasa politik wang UMNO sehingga pengundi tak pun terasa haram menjual undi mereka? Kita di Kelantan, kubu Islam.
Strategi adalah penting. Tetapi ia bukan bandingan iman di dada. Iman menjadi lemah apabila penyakit hati melanda. Allah melihat hati kita sebelum strategi kita. Apabila iman lemah, tiada yang indah pada strategi. Justeru Allah menegur pada iman, bukan pada strategi.
Kepada anak – anak muda di medan perjuangan, juga di pusat – pusat pengajian, marilah belajar beribrah daripada kejadian hari ini agar kita mantap menyambung tali perjuangan masa depan. Moga kita lebih matang dan bersedia nanti.
PRK tak sama dengan PRU. PAS Kelantan biasanya kalah dalam PRK, tetapi tidak PRU. Kali ini kita menang sebagaimana di Pulai Chondong dulu. Saya yakin Abe Uji mampu memainkan peranan besar membina kembali keyakinan rakyat kepada PAS. Beliau calon yang betul untuk rakyat Manek Urai, insya Allah.
Semoga Kelantan terus membangun bersama Islam.
7 ulasan:
Kamulah punca kemerosotan PAS.
Sehari sebelum pilihanraya, Berita Harian melaporkan kata-kata kamu di dalam akhbarnya. Menjadi pengundi keliru!
Anak Nik Aziz yakin Pas, Umno boleh bersatu
Jika Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tegas dan lantang menolak kerajaan perpaduan antara Pas dan Umno, anaknya, Nik Mohamad Abduh sebaliknya mempunyai pendapat berbeza apabila yakin kedua-dua parti itu boleh bersatu.
Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat berkata, walaupun mungkin sukar untuk melaksanakannya, beliau yakin matlamat untuk menyatukan Pas dan Umno boleh dicapai.
“Pas dan Umno boleh bersatu tetapi kesukarannya tidak mungkin semudah ajakan (Mufti Perak) Tan Sri Harussani (Zakaria). Kita perlu mendasari punca pertentangan dan mengubatinya, bukan sekadar atas desakan untuk menyelamatkan status quo politik Melayu tertentu,” katanya yang dipetik daripada blognya.
Penentangan terhadap idea kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyaksikan krisis hubungan antara Nik Abdul Aziz dan orang nombor dua parti, Nasharuddin Mat Isa.
Menteri Besar Kelantan itu yang menentang sekeras-kerasnya cadangan kerajaan perpaduan membidas Nasharuddin dan menganggap tindakan Timbalan Presiden Pas itu menyokong cadangan berkenaan sebagai sampah.
Malah beberapa penganalisis politik menyifatkan tindakan Pas Kelantan yang menghalang Nasharuddin daripada turut berkempen pada pilihan raya kecil Manek Urai, Kuala Krai, sebagai dendam golongan Erdogan kepada Ahli Parlimen Bachok itu.
Nik Mohamad Abduh yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan berkata, walaupun isu perpaduan Islam sering dibincangkan akhir-akhir ini, Pas dan Umno tetap sebagai parti kawan dan lawan.
Katanya, kedua-dua parti itu adalah manifestasi kepada jalin hubung umat Melayu dengan Islam sejak negara mencapai kemerdekaan daripada penjajahan barat.
“Pertentangan ini hanya akan berakhir apabila kedua-duanya bersatu dalam Islam atau keluar daripadanya. Jika bersatu dalam Islam, Allah akan mempertemukan mereka dengan musuh baru yang menentang Islam,” katanya.
Saya bersetuju dengan pendapat anon bahawa punca kemerosotan undi kepada Pas tiada kena mengena dengan keimanan penduduk MU. Punca sebenarnya adalah kerana PAS ada pemimpin seperti Hadi, Nasha dan Kamu ABDUH yang kononnya memperjuangkan nilai nilai Islam tetapi TIDAK LUPA yang kamu itu berbangsa MELAYU. Kamu mendahulukan BANGSA dan Islam kemudian. Sifat RACIST yang ada pada kamulah yang akan melemahkan Parti PAS.
Selagi orang Melayu jadikan Berita Harian, Utusan, TV1,TV2 dan TV3 sebagai sumber rujukan dan bahan bacaan, selagi itulah Melayu tersebut akan terus layu.
Betulkah Nik Abduh berkata mcm tu? Atau ucapan beliau telah diputar belit oleh Berita Harian.
Cuba kalian imbas balik kejadian pergaduhan antara penyokong PAS dan Umno semasa PRK Manek Urai, iaitu di UPU Sg Peria.
Bukankah Berita Harian, Utusan, dan media-media elektronik yang dikuasai Umno ini melaporkan bahawa 2 orang Puteri Umno cedera parah selepas dibaling batu oleh penyokong PAS.
Betul ke berita tu? Cuba semak dengan pihak Hospital Kuala Krai, yang pecah dagu dan kepala tu penyokong PAS ke Puteri Umno? Tentu anda akan terkejut.
Kalau anda rajin, cari saja kat blog2. Siap ada bukti video lagi.
Jika laporan BH tak betul sudah sepatutnya sitanggang bernama nik abduh itu membuat penafian. tetapi beliau memilih utk berdiam diri.
malah pemuda umno pernah mempelawanya untuk menyertai umno, kerana umno melihat nik abduh wajar berjuang bersama mereka.
sudah sepatutnya nik abduh keluar dari pas.
usahlah di layan orang yang tak berani menampilkan diri sendiri.ingat..alam siber penuh dengan penulis upahan umNO yang ingin memecahkan PAS! jadi...mereka termasuk sumber yang tak boleh dipercayai kerana tiada pertangungjawaban!
tak payah gaduh,,manik urai dah pun kepunyaan pas secara sah,,post motem nanti buatlah balik homework kenapa kita hilang banyak majoriti,,tapi aku setuju yg mana jika umno menang hari tu maybe aku kata maybe .. mungkin ia nya sokongan orang manik urai utk dapatkan jambatan yg tok sembab janjikan,,takdir Allah tak menghalalkan benda tu maka kalah lah UMNO yg pakai stertegi kemajuan yg mengugut manik urai,,tak timbul rasanya NIK Abduh setuju dengan kerajaan perpaduan yg dimaikan oleh UBN
WALLAH HU ALAM
Jangan marah2 wahai sahabat...
Ingat kata Tun Dr. Mahathir, walau satu undi pun dikira menang.... Ini pilihanraya kecil, pastinya umNGOK dah buat mcm2 perkara tak elok dkt pengundi2 di MU dan usaha jahat mrk gagal juga akhirnya... Pastinya PILIHANRAYA UMUM akan dtg, PAS akan menang besar di MU.... PERCAYALAH..........
Catat Ulasan