Ahad, 25 Oktober 2009

JANGAN NYALAKAN API FITNAH! - INGATAN KP PUSAT.


1. Fitnah adalah satu malapetaka yang membinasakan . Sememangnya Islam memberi perhatian serius terhadap bahaya fitnah sehingga disebut implikasinya lebih buruk dari membunuh .

2. Fitnah secara umumnya adalah pencetus sengketa justeru ia sering membabitkan tuduhan tanpa bukti , pra sangka tanpa asas dan persepsi yang salah . Malah fitnah sering beriringan dengan dendam atau sekurang - kurangnya rasa tidak puas hati terhadap pihak yang lain .

3. Ia juga seperti harimau yang sedang tidur . Sesiapa sahaja yang mengejutkannya dari tidur yang nyenyak hanya membuatkan harimau itu bingkas dan menerkam . Sedikit sahaja percubaan meniup api fitnah , ia akan menyala dan menyambar .

4. Fitnah jua boleh tercetus dalam pelbagai situasi juga dari aneka posisi . Lantaran itu , berhati - hatilah kerana fitnah adalah agenda syaithan yang pastinya ingin melihat para pejuang Islam berantakan sesama sendiri .

5. Semoga kita dipelihara oleh Allah swt daripada kebinasaan ini . Jauhi fitnah malah jangan sekali - kali berjinak - jinak dengan fitnah . Jika ingin membuat tuduhan , pastikan ada bukti yang kukuh dan jelas . Jika mahu mengandai atau menyangka , pastikan andaian atau sangkaan itu baik . Jika mahu membentuk persepsi , bentuklah persepsi yang tepat dan benar .

6. Terlebih wajar sikap itu diambil tatkala kita berhadapan dengan sahabat seperjuangan . Meskipun wujud perbedaan pandangan dan kelainan tindakan dikalangan anggota jamaah , ianya tidak menghalalkan kita mencetus dan menabur fitnah . Fitnah yang dicetus samalah kita menikam dan membunuh sahabat seperjuangan kita bahkan kesannya lebih kejam .

7. Mengelak agar fitnah tidak terus subur menjadi tanggungjawab kita semua dengan memastikan diri kita tidak bercakap dan mengulas dalam perkara yang kita tidak tahu hujung pangkal atau jangan sekali - sekali membentuk sikap dan fikiran semata - mata mendengar dari satu pihak tanpa menilai dengan adil dan memberi peluang kepada pihak lain pula .

8. Padam segera api fitnah dan padam juga semangat dendam yang membara . Tiada siapa yang boleh mengaut keuntungan apabila fitnah ini merebak , sebaliknya jamaah akan binasa , anggota jamaah akan berpecah , masa depan perjuangan menjadi suram dan Allah swt akan murka .

9. Atas nama Allah swt kita bersyahadah , kitab suci al Quran menjadi rujukan bersama dan mendaulatkan Islam adalah matlamat kita , maka saya menyeru semua pihak agar kita bertaut kembali di atas nokhtah yang sama ini . Tiada yang membezakan kita dan tiada siapa yang boleh menjarakkan kita kecuali kita sengaja melakukannya atau kita sengaja membuka ruang kepada agent - agent musuh untuk menyelinap masuk merosakkan jamaah dari dalam .

10. Marilah kita menghayati kembali ruh berjamaah yang berpaksi di atas semangat ukhuwwah fillah yang utuh lagi intim . Jangan pula kita seronok melihat jamaah retak dan hubungan kita rosak . Mungkin banyak perkara terpaksa kita korbankan khasnya perasaan kita agar jamaah dan ukhuwwah kita kembali pulih malah lebih baik dari sebelumnya . Ianya tidak mustahil dan kita boleh melakukannya demi Islam .

_________________________________________________________________

Apa yang dimaksudkan sebagai fitnah? fikirkan... jala tak dilempar jika tidak dilihat kelibat ikan!

Tiada ulasan: