Selasa, 29 Disember 2009

RIBUT DICANGKIR...JANGAN TUMPAH DI LANTAI


Politik di Kelantan ribut sekali lagi. Gara gara dua setiausaha yang bakal menamatkan tugas mereka, TGNA menjadi sasaran serangan. Apa peliknya dua Setiausaha itu tidak disambung tugas mereka setelah tamat tarikh. Mereka bukan dipecat. Dimana salahnya?. Ia umpama tuan rumah memilih untuk memberhentikan pembantunya.

Mungkin rumah itu agak kalut kerana sering ada orang yang mengintip apa terjadi didalamnya. Bunyi pinggan yang dibasuh barangkali dikatakan cawan pecah. Kalau pecah sekalipun...tiada salahnya. Setiausaha adalah jawatan pembantu. Jika dirasakan sudah kurang membantu... tidak salah dicari pembantu baru...apatah lagi sudah 10 tahun membantu.

Nampaknya ribut itu semakin kalut apabila exco kanan mula meluahkan apa terbuku di dada. Datuk Husam di dalam blognya mula melarik kaca yang sekian lama kilatnya memantulkan cahaya tanpa cacatnya. Komentar Datuk Husam berkaitan kekalutan politik anakberanak seiring dengan pengunduran dua setiausaha MB Kelantan. Mungkin tulisan Husam bukan bermaksud begitu..tetapi beliau tidak boleh menolak persepsi masyarakat bahawa beliau tidak senang dengan apa yang berlaku. Seperti juga TGNA tidak boleh menolak persepsi masyarakat bahawa semua yang terjadi adalah rentetan isu Ariffahmi walau mungkin semuanya saling tidak bertaut sama sekali. Mungkin semua lupa bahawa yang memulakannya ialah Kickdafela.. yang kini mungkin tersenyum puas dengan apa terjadi...

Nampaknya kemelut semakin kusut, namun jika diikut resmi "keruh di sungai", itu petanda kepala air akan turun. Pasti ada yang akan menjadi mangsa jika tidak gagah bersedia, atau naik dari tebing sungai sejauh yang mampu untuk seketika, dan selepas itu sungai akan jernih semula. Mungkin kemelut yang keruh sejak muktmar sebelumnya.... sampah sarap yang mengeruhkannya akan hanyut kebawah jua... tapi awas...seperti kepala air, ia turut mengaut apa sahaja yang menanti di bawahnya. Menarik apa jua yang mampu digapainya...

Dalam perjuangan Islam, tapisan adalah proses biasa. Kita sedang menanti tapisan itu dengan doa agar bukan kitalah yang tertapis. Tak kira pemimpin besar atau kecil... tapisan Allah paling seni... ia mengukur ikhlas yang tidak dilihat manusia. Ia menilai niat yang dihiasi senyum dan gigih bekerja di muka. Itu adalah petanda akhir kemenangan setelah sekian lama bertahan dengan ujian.

Istilah ribut dicangkir sudah lama digunakan apabila kemelut di dalam PAS di "konsertkan" di medan umum.Namun apa yang membimbang kita ialah jika ribut itu mampu menumpahkan kopi ke lantai... lebih menakutkan jika cangkirnya turut pecah berderai....

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kalau kita baca tulisan Uz Zolkharnain , ribut bukan sekadar melanda di Kelantan yg PAS memerintah, bahkan di tempat beliau sendiri, Perlis. Selangor lagi...Sebab itu PAS perlu melakukan proses pemutihan dan ramai yang setuju kalau ada EGM perkara ini boleh diselesaikan tanpa ada perpecahan seperti hari ini.Berikut petikan tulisan Ust Zolkharnain :

Saya tidak pelik kalau politiking dalaman ini berlaku di negeri yang PAS memerintah. Tentunya setiap individu atau kelompok di situ punya agenda masing-masing.

Pertembungan idealisme dan tindakan tentu berlaku, itu biasa sahaja. Kadang-kadang pertembungan itu mematangkan tanpa menafikan ia juga boleh meruntuhkan.

Apa yang pelik ialah apabila ini berlaku di negeri yang PAS tidak sekuat mana, tenaga tidak seramai mana dan strategi politik tidak sehebat mana pun. Dalam keadaan begitu, masih wujud gerakan singkir-menyingkir, jatuh-menjatuh, aib-mengaib dan godam-menggodam.[klik sini]

ANAKSENGAT' ( aku tak rela diperdaya umNO) berkata...

entahlah...kekadang saya tak tahu mana lebih aula antara EGM dan muktamar pemilihan...apa kata kita cadangkan tak payah muktamar pemilihan...kita buat EGM tiap tahun...

Tak puas hati keputusan EGM tu kita cadang EGM baru...sampai orang puas hati....

Selagi tak puas hati..kita EGM lagi...dan lagi dan lagi...dan lagi....

Sabda Rasulullah SAW "Kalau diberi anak adam satu lembah dari emas mereka akan menuntut yang kedua...jika diberi dua lembah emas mereka ingin yang ketiga...tidaklah memenuhi perut anak Adam melainkan tanah"

Wallahu a'lam