Khamis, 16 September 2010

MEMAHAMI KEMPEN AZMIN BERMULA...

Azmin Ali akhirnya menawarkan diri bertanding kerusi timbalan presiden PKR setelah penyandangnya Syed Husin Ali membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan itu.

"Setelah mengambil kira pandangan pimpinan tertinggi parti dan anggota-anggota parti termasuk perbincangan terus dengan Dr Syed Husin Ali; saya dengan penuh rasa tawaduk dan rendah hati ingin menawarkan khidmat saya sebagai timbalan presiden," katanya.

Azmin - kini naib presiden - juga berjanji akan berganding bahu untuk menggilap idealisme, memperkukuh kesetiaan dan memperkasa organisasi bersama pucuk pimpinan dan anggota parti yang lain.

"Saya turut berazam untuk memastikan pemilihan kepimpinan (PKR) 2010 berlangsung dalam suasana sihat dan (penuh) semangat kekeluargaan di sepanjang proses kempen dan pemilihan parti.

Pengumuman Azmin itu hari ini dengan sendirinya melengkapkan desas-desus pertembungannya dengan penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim yang turut mengumumkan kesediaannya merebut jawatan yang sama sebelum ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Azmin yang juga ahli parlimen Gombak mengambil kesempatan menyatakan penghargaan dan terima kasih terhadap Syed Husin atas sumbangan dan perjuangan berterusannya dalam PKR.

"Dr Syed Husin Ali beristiqamah dalam perjuangan. Sifat istiqamah beliau akan terus menjadi inspirasi kepada anggota-anggota parti dalam meneruskan perjuangan ini," katanya.

Sementara itu, "selaku anggota muda parti yang jatuh dan bangun bersama perjuangan lebih sedekad", Azmin turut mengulangi sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua umum dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail selaku presiden parti itu.

Tiada ulasan: